Sabtu, 12 September 2015

NGO rayu Agong hentikan perhimpunan baju merah

Geraldine Tong


 


Sebuah gabungan 20 NGO meminta Yang di-Pertuan Agong, melalui satu memorandum, supaya cuba menghentikan perhimpunan baju merah yang dirancang diadakan pada 16 September ini.

Presiden ProRakyat, Khairul Anuar Osman berkata sesiapa sahaja dibenarkan untuk berhimpun secara aman kerana hak itu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi, protes balas itu mungkin tidak akan aman, katanya kepada pemberita di luar Istana Negara hari ini.
Khairul Anuar berkata, daripada iklan dan poster pihak penganjur, perhimpunan itu kelihatan seperti ia akan ada unsur kekerasan.

ProRakyat adalah antara NGO dalam gabungan itu, bersama-sama dengan Otai Reformasi 1998, National Interlock Action Team (Niat), Jingga13 serta yang lain-lain.

Setiausaha kerja Otai Reformasi 1998, Abdul Razak Ismail berkata, memorandum mereka itu telah diterima oleh seorang pegawai perhubungan awam Istana Negara, Mohamad Husni Yusuf.

Salah satu sebab mengapa mereka menghantar memorandum ini kepada Yang di-Pertuan Agong ialah kerana kebimbangan mereka terhadap keberkesanan polis dalam menangani perhimpunan tersebut.

Beliau mendakwa pihak polis berada dalam kedudukan yang sukar kerana dari satu segi, mereka perlu menguatkuasakan undang-undang, dan di satu segi lagi mereka perlu taat kepada tuan politik mereka.

Ahad lalu, Timbalan Ketua Polis Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, perhimpunan baju merah akan dilarang atas sebab-sebab keselamatan.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak akan menghalang ahli Umno menyertai perhimpunan tersebut, sentimen yang turut disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada hari Rabu.

Keadaan itu, kata Razak, membuat mereka kurang keyakinan terhadap keupayaan pasukan polis untuk mengawal perhimpunan tersebut.

Untuk memastikan perhimpunan itu tidak menjadi ganas, katanya, Otai Reformasi dan ProRakyat akan menghantar 2,500 sukarelawan untuk memantau perhimpunan tersebut.

Perhimpunan itu dijadual berlangsung di Jalan Bukit Bintang, kemudian menuju ke arah Jalan Petaling (gambar di atas) sebelum akhirnya berakhir di Padang Merbok, berhampiran Bangunan Parlimen.

"Adakah anda yakin tidak akan berlaku pergaduhan atau kekecohan di Plaza Low Yat atau Petaling Street?" soalnya.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak NGO lain tetapi ini adalah janji kami: Kami akan tempatkan orang kami di jalan-jalan dari pagi hingga tengah malam pada 16 September bagi memastikan keadaan adalah terkawal dan rakan-rakan Cina kita tidak diapa-apakan," katanya Razak Razak.

Satu lagi sebab penyerahan memorandum ini kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Khairul, ialah kerana objektif dan agenda penganjur perhimpunan baju merah tidak jelas.

Katanya, (sebagai contoh) BERSIH mempunyai lima tuntutan yang sangat jelas tetapi penganjur perhimpunan baju merah, menurutnya, tidak ada arah haluan.

"Apakah objektif mereka? Mereka ingin bagitahu orang Cina supaya tidak mencabar orang Melayu?

"Siapakah orang Melayu? Kami (dirinya dan wakil-wakil NGO yang lain) adalah semuanya orang Melayu. Tidak semua orang Melayu di pihak mereka.

"Kami mahu sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, aman dan tanpa sebarang pergaduhan kaum," kata Razak.

Tiada ulasan: