Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengucapkan terima kasih kepada penganjur BERSIH 4 kerana mempromosikan Malaysia.
Kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, perhimpunan selama 34 jam itu mendapat liputan daripada media antarabangsa dan secara tidak langsung mengiklankan demokrasi sihat diamalkan di negara ini.
"Dari segi pelancongan dan pandangan luar negara, ia bagus juga sebab menunjukkan demokrasi sihat negara kita.
"Dah tayang di CNN, Aljazeera, BBC, satu dunia tahu tentang itu (perhimpunan BERSIH) jadi saya sedikit sebanyak mengucapkan terima kasih pada BERSIH kerana mereka iklankan demokrasi sihat di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Sehubungan itu, beliau secara sinis menyarankan supaya perhimpunan BERSIH diadakan setiap tahun.
Bagaimanapun, kata Nazri, sekiranya mahu diadakan setiap tahun, proses penganjurannya mesti dibuat dengan betul, seperti mengemukakan permohonan kepada Menteri Dalam Negeri.
"Tahun depan buat lagi benda ini. Buat tiap-tiap tahun. Tak adalah buat pada satu-satu waktu sahaja. Tahun depan buat lagi.
"Tapi mohonlah pada timbalan perdana menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri). Kita ada undang-undang," katanya.
Bukan semua orang KL
Malah, Nazri berkata, kehadiran puluhan ribu peserta BERSIH ke ibu negara sempena perhimpunan berkenaan juga membantu meningkatkan jumlah pelancongan dalam negara.
"Peserta BERSIH dalam 80,000 dan bukan semua dari Kuala Lumpur. Mereka dari luar, maka itu pun membantu meningkatkan pelancong domestik.
"Kemudian dengan ada orang jual air tepi jalan semua, yang penting jangan kacau ketenteraman. Itu sahaja," katanya lagi.
Pada Sabtu dan Ahad lalu, BERSIH mendakwa ada kira-kira 500,000 orang menyertai perhimpunan berkenaan dan membanjiri jalan-jalan di sekitar Dataran Merdeka.
BERSIH mengemukakan tuntutan kepada kerajaan iaitu membersihkan pilihan raya, kerajaan yang bersih, hak membantah, pengukuhan demokrasi berparlimen dan tuntuan untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia.
Mereka turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan