KUALA LUMPUR, Keputusan Pas untuk tidak menyertai persidangan meja bulat pembangkang pada 22 September lalu terbukti tepat sama sekali.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perjumpaan antara Pas dengan PKR di Ibu Pejabat PKR pada 15 September lalu langsung tidak dimaklumkan tentang adanya persidangan meja bulat pembangkang.

Menurutnya, persidangan meja bulat pembangkang itu dimaklumkan kemudian dan pada awalnya ia diberi gambaran bahawa persidangan itu sekadar sebagai perbincangan isu melibatkan kepentingan rakyat namun apa yang berlaku ternyata persidangan itu mempunyai agenda lain.

“Di persidangan itu, laporan pelbagai media mendedahkan ada pihak tertentu yang tergesa-gesa mengumumkan kelahiran gabungan baru iaitu Pakatan Harapan.

“Dakwaan itu lebih terserlah dan seolah-olah dibenarkan melalui pengisytiharan serta-merta kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan oleh DAP Pulau Pinang.

“Tindakan sepantas kilat itu telah menambat persepsi di minda rakyat mengenai siapa sebenarnya perancang utama di dalam pakatan yang baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, pada waktu ini, Pas sebagai parti pembangkang terbesar tidak akan terlibat dalam Pakatan Harapan kerana Pas tidak mempunyai hubungan politik dengan DAP dan juga Parti Pekerja atau Parti Amanah Negara (Amanah).

“Pas akan terus mara ke depan bersama Islam dan menguatkan jentera parti bagi menuntut perubahan total bersama rakyat Malaysia untuk merehatkan Umno-BN sebagaimana yang ditegaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” ujarnya.