shahbudindotcom
Selagi
Najib Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri, keadaan dalam negara
tidak mungkin menjadi lebih baik. Semua petunjuk ketika ini
memperlihatkan segala-galanya akan bertambah buruk.
Najib
mungkin dilihat berjaya menghalang siasatan di dalam negara terhadapnya
melalui beberapa tindakan yang dilakukannya, tetapi penyiasatan di luar
negara nampaknya semakin terbuka luas.
Sekurang-kurangnya
dua negara iaitu Switzerland dan Amerika Syarikat melalui FBI
dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap Najib berkaitan 1MDB dan
penggubahan wang haram berikutan wang RM2,600 juta yang mengalir masuk
ke dalam akaun peribadinya.
Kiranya
selama ini kita hanya biasa melihat dalam filem atau televisyen saja
bagaimana FBI menjalankan kerjanya, semua itu mungkin akan menjadi
kenyataan di depan mata kita tidak lama lagi. Lantas, jika berlaku, ia
akan menjadi satu lagi sumbangan Najib kepada rakyat dan negara.
Berdasarkan beberapa laporan yang dibuat oleh Khairuddin Abu Hasan di London, Perancis, Hong Kong dan Singapura sebelum beliau ditangkap, tidak mustahil negara-negara tersebut juga akan membua kertas siasatan yang sama.
Melalui
perjalanan masa seminggu dua lagi, tidak menghairankan jika kita akan
mendengar negara lain pula mengumumkan mereka akan turut membuka kertas
siasatannya terhadap Najib.
Dengan
begitu banyak kertas siasatan dibuka di peringkat antarabangsa, moral
Najib sejujurnya telah berkecai, bukan saja di mata dunia, bahkan juga
dalam pandangan majoriti rakyat Malaysia yang tidak terkelabu dengan
dedak yang ditabur di sana sini.
Dalam
masa yang sama, Tun Mahathir Mohamad mula membayangkan kemungkinan
Najib akan ditangkap jika ke luar negara berikutan yang ingin
menyoal-siasatnya kini adalah polis antarabangsa dan bukan lagi dalam
kawalan pihak berkuasa dalam negara.
Tidak
keterlaluan jika akhirnya Najib tidak berani ke mana-mana lagi di luar
Malaysia. Mana-mana polis dunia atau Interpol hanya menunggu beliau
berada di luar Malaysia saja untuk menahannya kerana di Malaysia mungkin
tidak semudah itu untuk melakukannya.
Jika
ditangkap tentu saja memalukan, ketidakberanian pergi ke luar negara
juga tidak jauh bezanya. Apalah gunanya menjadi Perdana Menteri sebuah
negara yang merdeka kalau ulang aliknya hanyalah antara Pekan, kediaman
peribadi di Jalan Duta dan Putrajaya saja.
Tetapi yang lebih memburukkan ialah negara akan terus terperosok ke lembah kehinaan dengan satu demi satu siasatan yang dibuka itu. Sejak merdeka dan sudah ada enam Perdana Menteri sebelum ini, tidak ada sesiapa pendahulu jawatan itu yang pernah memalukan negara sebegini rupa.
Imej
kita sebagai negara Islam dan sederhana yang begitu disanjung sebelum
ini jadi lebih bermakna lagi dan mengalahkan penurunan nilai mata wang
yang sedang berlaku.
Tidak
seperti kemerosotan mata wang yang boleh diperbaiki, penyembuh kepada
moral negara yang sedang menjunam itu ubatnya hanyalah dengan Najib
sedia berhenti daripada jawatannya saja.
Dengan
berhenti, bukan saja usaha memulihkan moral negara boleh diperbaiki
melalui pemimpin baharu, malah UMNO juga lebih mudah memperbaiki
imejnya.
Tidak
dinafikan sokongan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Najib ketika ini
lebih disebabkan mereka terikat kerana masing-masing sudah menerima
habuan daripadanya. Beberapa pemimpin UMNO seperti Shahrir Samad dan
Ahmad Maslan yang didakwa menerima wang daripada Najib tidak menafikan
perkara itu, bahkan bangga mengatakan "kalau bukan Presiden UMNO tempat
meminta bantuan, dengan siapa lagi mahu mendapatkannya."
Najib
juga tidak menafikan mengenai bantuan yang diberikannya atas alasan
tidak semua Ketua UMNO Bahagian daripada golongan kaya dan berharta
serta sesetengahnya hanyalah merupakan Penolong Pegawai Daerah saja
sebelum menceburkan diri dalam politik.
Namun,
dalam masa pemimpin UMNO terhutang budi dengan bantuan Najib itu,
mereka juga sebenarnya sedang sengsara kerana wang yang diterima
bagaikan tidak sepadan dengan beban kemusnahan sokongan rakyat yang
sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.
Dalam
bahasa yang mudah, onar Najib sehingga siasatan dibuka di peringkat
antarabangsa, mungkin tidak boleh ke luar negara dan menjadikan sokongan
rakyat kian rapuh, telah membuatkan UMNO dan negara seperti pesakit
nazak yang hanya menunggu masa untuk tertanggal nyawanya.
Tidak
ada-apa lagi yang boleh diperbaiki dan dipulihkan selagi Najib tidak
berundur daripada jawatannya. Dengan sedia berundur pula, Najib
sebenarnya akan menghadiahkan kegembiraan kepada semua kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan