MALAYSIAKINI
Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan hari ini menegur sikap
remaja yang didakwa fanatik dengan program hiburan melampau batas
sehingga sanggup memeluk idola mereka di khalayak ramai.
Lebih sedih lagi, kata mimbar, ia berlaku ketika mangsa banjir di
beberapa negeri dalam Malaysia berada dalam keadaan perit dan hiba.
“Kita mungkin tidak menyedari akan muslihat atau agenda yang dibawa oleh akhlak dan budaya di sebalik hiburan tersebut.
“Bagi mereka yang cetek pemikiran, (mereka) menganggap ia hiburan semata-mata.
“Tetapi jika dikaji dengan mendalam, kita akan menemui jawapan di
sebalik persoalan, apakah nilai, adab, budaya dan moral yang dibawa oleh
mereka,” menurut khutbah.
Sabtu
lalu, gambar beberapa remaja perempuan bertudung memeluk artis K-pop
B1A4 tersebar meluas di Internet dan mengundang polemik panjang sehingga
ke hari ini.
Sementara itu, khutbah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
juga menganggap program sebegitu sebahagian daripada proses melemahkan
nilai dan jati diri umat Islam serta menghancurkan pegangan Islam
sebenar.
“Kejadian yang berlaku ini merupakan satu perbuatan maksiat yang serius
dan berbahaya kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran
Islam yang sebenar,” menurut khutbah berjudul “Transformasi Diri” itu.
Mimbar juga menyeru masalah itu dihapuskan sebelum menjadi barah kepada masyarakat.
“Sewajarnya pihak- pihak tertentu yang mencipta hiburan tersebut
mengkaji semula rancangan mereka agar ia bersesuaian dengan corak
kehidupan budaya Melayu Islam di negara kita,” menurut khutbah lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan