shahbudindotcom
Malaysia
mungkin satu-satunya negara di dunia yang paling banyak "benda" hilang
tanpa dapat dikesan. Bukan sekadar kenderaan, kanak-kanak dan
barang-barang bernilai lain yang hilangnya sudah menjadi perkara biasa,
negara kita juga mencipta sejarah kerana jet perang tiba-tiba hilang
enjinnya.
Dalam laporan audit beberapa tahun lalu, diberitakan beberapa pucuk pistol dan gari polis dikesan hilang daripada simpanan.
Pada
tahun lepas pula, sebuah kapalterbang penumpang MAS, MH370 juga hilang
daripada radarnya dan sehingga sekarang terus ghaib tanpa dapat dikesan.
Dua
pemuda yang sedang menunggu perbicaraan di mahkamah, Alvin Tan dan Ali
Abdul Jalil, juga hilang secara tiba-tiba dan kini dilaporkan sedang
berusaha mendapatkan suaka politik di luar negara.
Terbaru,
Sirul Azhar Umar, salah seorang tertuduh dalam kes pembunuhan
Altantuya, turut hilang ketika hukuman mati dijatuhkan keatasnya atas
sabitan bersalah membunuh model kelahiran Mongolia itu.
Selepas
beberapa siri kehilangan yang "tidak masuk akal" dan "memeningkan
kepala" semua orang, hilangnya Sirul daripada menghadirkan diri ke
Mahkamah Persekutuan dan kemudian didapati sudah berada di Australia
sejak dua bulan lalu, sekali lagi menimbulkan lebih banyak tanda-tanya
mengenai pentadbiran dan kawalan negara kita ini.
Ramai
yang bertanya, apa sudah jadi dengan Malaysia sekarang ini? Bagaimana
seorang yang sedang menunggu keputusan mahkamah atas tuduhan membunuh
boleh begitu bebas untuk ke luar negara?
Seminggu
atau dua minggu sebelum tarikh perbicaraan pula, kenapa pihak berkuasa
tidak berusaha mencari dan mengesannya setelah telefon bimbitnya tidak
dapat dihubungi? Kenapa kehilangan yang memalukan seperti ini berlaku
lagi?
Pelbagai
spekulasi kini timbul mengenai kehilangan Sirul. Ada yang mengatakan
beliau mungkin sengaja melarikan diri kerana sudah mengetahui hukuman
mati di tali gantung sedang menunggunya. Ada pula mengatakan, tanpa
kerjasama pihak-pihak tertentu, amatlah sukar untuk Sirul melepaskan
diri ke luar negara dan kemudian meneruskan kehidupan sebagai pelarian
di Australia.
Sementara
topik perbincangan makin hangat tentang bagaimana beliau menghilangkan
diri dan seruan agar usaha membawanya balik secara ekstradisi
dipercepatkan, keadaan menjadi lebih kalut apabila pihak berkuasa
Australia mengeluarkan kenyataan tidak akan melayan sebarang permohonan
Malaysia bagi tujuan itu.
Sebagai
antara negara hak asasi dan tidak memperuntukkan hukuman mati dalam
undang-undang jenayahnya, Australia berpendirian tidak akan memulangkan
mana-mana rakyat luar secara ekstradisi untuk menjalani hukuman
tersebut.
Negara
itu dilaporkan hanya sedia mempertimbangkan pemulangan mana-mana
pesalah secara ekstradisi bagi hukuman lain selain gantung sampai mati.
Sekali
lagi timbul persoalan, apakah Sirul sebenarnya berada dalam
perlindungan pihak tertentu yang rapat dengan kerajaan Australia?
Jika Sirul terus berada di Australia pula, apa kesudahannya?
Jika
sebelum ini Sirul pernah mengatakan dirinya adalah "kambing hitam" dan
ibunya pula memberitahu, beliau pernah dimaklumkan oleh anaknya bahawa
tindakannya itu adalah kerana diarahkan oleh seseorang, apakah semua itu
akan dibongkar satu demi satu oleh Sirul selepas ini?
Melalui
keterangan di mahkamah pula, direkodkan juga bahawa log telefon Sirul
membuat panggilan kepada seseorang selepas kejadian pembunuhan di Puncak
Alam itu selesai. Adakah melalui "kekebalan" yang dinikmatinya di
Australia sekarang, nama penerima panggilannya itu akan didedahkan?
Dalam
kes perbicaraan Altantuya, sejarah juga tercipta kerana motif
pembunuhan dianggap tidak penting. Selain Razak Baginda yang kemudian
dibebaskan dan tidak dirayu kesnya, DSP Musa Safri yang ketika itu
bertugas dengan Najib Razak, turut tidak dipanggil memberi keterengan di
mahkamah.
Dengan
bebasnya Razak Baginda dan Najib pula dibersihkan daripada sebarang
kaitan dengan pembunuhan Altantuya, ramai yang melihat kes Altantuya
akan berakhir bersama hukuman mati yang diterima oleh Azilah dan Sirul.
Walaupun saman keluarga Altantuya terhadap kerajaan akan diteruskan, ia
dijangka akan senyap beberapa tahun selepas ini apabila sejumlah
gantirugi diberikan sebagai ubat kesedihan.
Blog
ini beberapa kali pernah menyebut ungkapan, "manusia merancang, Tuhan
merancang terapi perancangan Tuhanlah akan menang". Ternyata kini sekali
lagi Tuhan menunjukkan kebesaran dan kekuasan-Nya yang tak terjangkau
oleh akal pemikiran manusia.
Meskipun
hukuman mati sudah dijatuhkan, tetapi hilangnya Sirul secara tiba-tiba
untuk mengelak hukuman mati dan kini berada di Australia yang
seolah-olah melindunginya, persoalan yang paling utama ialah, apakah
akan dilakukannya selepas ini?
Adakah
beliau akan berdiam diri saja atau bakal mendedahkan kepada media
antarabangsa, siapa yang mengkambing-hitamkannya, siapa yang
mengarahkannya melakukan pembunuhan dan siapa yang dihubunginya melalui
telefon dari tempat kejadian Altantuya dibunuh?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan