KUALA LUMPUR: Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengecam
tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan
Islam yang menganjurkan program di sebuah surau baru-baru ini dan
mendakwa ianya mencemarkan rumah ibadat umat Islam.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim membidas tindakan
kumpulan tersebut kerana tidak menjaga sentiviti penduduk setempat
beragama Islam.
"Kita kena hormati rumah ibadat. Di surau atau masjid kita ada
peraturan. Mana-mana penganut agama pun tidak rela rumah ibadat mereka
tidak dihormati dan dicemari dengan kelakuan bercanggah dengan
kesuciannya," kata ahli Parlimen Muar yang dipetik Utusan Malaysia hari
ini.
Semalam, beberapa keping gambar sekumpulan pelajar Universiti Utara
Malaysia (UUM) termasuk bukan Islam menggunakan surau Batu 15 Sintok,
Kedah semalam tersebar di laman sosial.
Gambar tersebut memaparkan kumpulan tersebut duduk bercampur antara
lelaki dan perempuan bagi mengadakan Himpunan Promahasiswa ternyata
telah mencemar kesucian rumah ibadat itu.
Malah dalam kumpulan tersebut pelajar bukan Islam dilihat tidak menutup
aurat untuk memasuki surau itu namun mereka tidak pula ditegur oleh
pelajar Islam di situ.
Razali yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tindakan akan diambil ke atas pelajar yang terlibat.
"Mereka yang bersalah ini perlu dihukum dan kita perlu pastikan perkara sama tidak berulang," katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) menyifatkan tindakan pelajar UUM tersebut sebagai tidak bermoral.
Ketua tugas-tugas khas biro pemantauan dan integriti PERKASA Ruslan
Kasim, menyelar mereka supaya tidak menjadi alat kepada pihak tertentu
dalam mengugat kestabilan negara.
"Masuk ke dalam surau tanpa memakai pakaian sopan dan menyampaikan
ucapan menunjukkan betapa rendahnya nilai moral mereka dalam menghormati
agama Islam.
"Saya harap mahasiswa jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak
yang cuba menjadikan mereka sebagai kuda tunggangan bagi merealisasikan
agenda menjejaskan kestabilan negara, selain berfikir rasional sebelum
melakukan sebarang tindakan," katanya.
Kumpulan pro-mahasiswa tersebut mengadakan program di surau Batu 15,
Sintok, Kubang Pasu selepas pihak universiti menolak permohonan mereka
untuk mengadakan program di dalam kampus.
Program itu dipercayai diadakan bagi mengekalkan momentum sokongan
terhadap kumpulan promahasiswa sehingga Pilihan Raya Kampus 2014/2015.
Difahamkan program itu juga turut disertai oleh Presiden PMUM Fahmi
Zainol dan aktivis sosialis K.S. Bawani yang pernah mencetuskan
kontroversi sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan