Oleh Shahbudin Husin
UMNO mengadakan Perhimpunan Agung tahunannya sekali lagi. Jika dikira daripada tarikh ia ditubuhkan pada 1946, usia UMNO ketika ini sudah mencecah 68 tahun dan kalau ia seorang manusia pula, ia adalah seorang tua yang sudah dijangkiti banyak penyakit serta tidak berada lama lagi hayatnya di dunia ini.
Tetapi sebagai entiti
yang tiada tempoh matinya, usia UMNO sukar diramalkan. Hayatnya
mungkin panjang dan mungkin juga pendek. UMNO ketika ini bukan saja
menjadi antara parti paling lama berkuasa tanpa henti, bahkan mungkin
satu-satunya parti yang menuntut kemerdekaan yang masih kekal
menggenggam kuasa.
Sejak pilihanraya 2008, UMNO telah mengalami kemerosotan sokongan yang ketara daripada rakyat. Buat pertama kalinya, BN yang ditunjangi UMNO hilang majoriti dua pertiga pada pilihanraya 2008 dan kemudian pilihanraya 2013 pula, bukan saja terus merosot jumlah kerusinya, malah turut kehilangan undi popularnya.
Apabila Datuk Seri Najib Razak
mengambil alih kepimpinan parti dan negara pada 2009, beliau sedar
parti ketika itu dalam keadaan lemah dan makin merosot. Lantaran itu,
peringatan awal yang kerap dilontarkannya ialah "berubah sebelum rebah"
supaya ahli parti di semua peringkat segera memperbaiki diri,
bermuhasabah serta melakukan perubahan.
Malangnya, dalam tempoh 2009 hingga pilihanraya 2013, melalui
pelbagai slogan dan pendekatan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib,
sokongan rakyat tidak juga menjelma. Selain kehendak rakyat makin
kritikal dan pelbagai, isu yang menghantui rakyat juga ialah tiadanya
perubahan dalam diri pemimpin yang sering melaungkan slogan "berubah
sebelum rebah" itu.
Bagi
kebanyakan rakyat dan ahli UMNO sendiri, mereka mendapati Datuk Seri
Najib tidak bersungguh-sungguh berubah sebagaimana beliau meminta
pemimpin dan ahli UMNO yang lain agar berubah. Dengan pelbagai isu yang
membeliti diri dan keluarganya sejak 2009, dari isu kemewahan,
pembaziran, penonjolan isteri yang keterlaluan, perbelanjaan, mengurus
kerajaan dan sebagainya, jelas tergambar bahawa Perdana Menteri juga
gagal berubah sebenarnya.
Apabila
beliau bercakap mengenai perubahan dan meminta orang lain berubah, sudah
tentu teladan ini mesti hadir melalui dirinya terlebih dahulu.
Bagaimana pemimpin dan ahli UMNO lain mahu berubah sedangkan yang
melaungkan perubahan pun kekal selesa dengan gaya lama yang menjadi
kebencian rakyat?
Menjelang
Perhimpunan Agung UMNO ke-68 tahun ini, isu perubahan sekali lagi
dilaungkan, tetapi kali ini oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pula. Jika
dulu Presiden UMNO mengatakan "berubah sebelum rebah", Timbalan
Presidennya pula menggesa agar "berubah sebelum diubah".
Menurut Tan Sri Muhyiddin lagi, berdasarkan keputusan pilihanraya
pada 2008 dan 2013, adalah jelas UMNO kini berada dalam kedudukan yang
kritikal dan memerlukan perubahan yang segera sebelum kalah lebih teruk
lagi.
"Saya katakan kita sedang
menghadapi tahap kritikal, kalau perubahan atau pembaharuan tidak
dilihat berlaku, bimbangnya kita boleh kalah. Isyaratnya sudah jelas di
hadapan kita," tegasnya lagi.
Persoalannya, kenapa kali ini Tan Sri Muhyiddin sebagai orang nombor
dua dalam parti dan kerajaan pula yang menuntut agar dilakukan
perubahan dan pembaharuan dalam UMNO?
Apakah ini bermakna perubahan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib sejak 2009 telah mengalami kegagalan?
Sementara Datuk Seri Najib tidak bercakap lagi mengenai perubahan
sejak kebelakangan ini, maksud perubahan dan pembaharuan yang
ditekankan oleh Tan Sri Muhyiddin seharusnya juga difahami oleh
ahli-ahli UMNO menjelang perhimpunannya kali ini.
Apakah maksud sebenar perubahan dan pembaharuan itu? Adakah ia hanya
mengenai sikap, pendekatan dan corak kerja semata-mata atau ia termasuk
juga perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan UMNO?
Tidak dinafikan bahawa sejak mengambil alih kepimpinan daripada Tun
Abdullah Ahmad Badawi yang ditakrif lemah dan menimbulkan banyak
masalah, Datuk Seri Najib telah melakukan pelbagai usaha dan pendekatan
untuk memenangi pilihanraya tetapi masalah utamanya ialah beliau juga
dilihat tidak berubah lantaran pelbagai isu lain yang tidak henti-henti
mengenai dirinya sendiri.
Sebab
itu, keputusan pilihanraya 2013 lebih buruk daripada 2008. Dan selepas
pilihanraya 2013 pula, imej dan wajah UMNO terus lebih buruk lagi. Ini
menyebabkan soal kemungkinan UMNO kalah pilihanraya dan hilang kuasa
bukan lagi diperbualkan oleh rakyat biasa, malah ramai pemimpin UMNO
sendiri turut bimbang dengannya.
Jika Perhimpunan Agung UMNO tahun ini digunakan untuk menilai prestasi
parti dan pemimpinnya serta tidak lagi bercakap soal retorika kaum,
agama atau lawak jenaka, perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan
sudah tidak dapat dielakkan lagi jika ingin terus berkuasa dan menang
pilihanraya. Perubahan dan pembaharuan yang sudah tidak boleh dielakkan
lagi ialah melibatkan Datuk Seri Najib sendiri.
Tanpa perubahan dan pembaharuan yang melibatkan "bahagian kepala dari
seekor ikan", apa pun perubahan yang dilaungkan tidak akan berupaya
menjana kemenangan kepada UMNO. Apakah ini sebenarnya mesej yang cuba
disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin apabila mengatakan perlunya UMNO
melakukan perubahan dan pembaharuan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan