Sabtu, 29 November 2014

Petronas rancang kurang belanja modal projek baru

MALAYSIAKINI


 


Petronas mempertimbang untuk mengurangkan antara 15 dan 20 peratus daripada RM60 bilion perbelanjaan modalnya bagi projek baru tahun depan berikutan kejatuhan harga minyak sekarang ini.
  
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Shamsul Azhar Abbad berkata kumpulan akan menyalurkan sebahagian besar pendapatan ke dalam perbelanjaan modal, dan ini bermakna kumpulan perlu lebih berdisiplin dalam pengurusan modal, termasuk dasar dividen yang ketat.
  
"Jika harga minyak global kekal antara US$70 dan US$75 setong pada tahun depan, kami merancang untuk mengurangkan dividen dan cukai untuk kerajaan kepada RM17 bilion, manakala royalti minyak dan gas dikurangkan kepada RM9 bilion.
  
"Sekiranya kami menjangka untuk mengekalkan dividen pada tahap sekarang atau lebih tinggi, ia akan mempunyai kesan yang signifikan ke atas pertumbuhan kami," katanya kepada taklimat media mengenai prestasi kewangan kumpulan itu pada suku ketiga semalam.
  
Bagaimanapun, kumpulan akan mengekalkan sumbangan dividen sebanyak RM29 bilion kepada kerajaan, termasuk, cukai sebanyak RM26 bilion dan royalti berjumlah RM13 bilion untuk 2014.
  
Shamsul Azhar berkata untuk mengekalkan pertumbuhan, kumpulan perlu membangunkan lagi rizab tempatannya dan mencari peluang-peluang lain di peringkat antarabangsa, yang memerlukan sejumlah besar perbelanjaan modal.
  
Katanya, syarikat itu lebih selesa jika harga minyak dunia dikekalkan pada paras US$70 dan US$80 setong tahun depan.
  
Keuntungan sebelum cukai Petronas untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2014 tinggi sedikit kepada RM78 bilion daripada RM76.7 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
  
Pendapatan naik kepada RM249.78 bilion untuk tempoh di bawah kajian berbanding RM232.51 bilion sebelum ini.
  
Bagi suku ketiga, bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai adalah 12 peratus lebih rendah pada RM22.8 bilion berdasarkan pendapatan yang berkurangan pada RM80.37 bilion.- Bernama

Tiada ulasan: