Jumaat, 28 November 2014

Perhimpunan Umno patut bincang punca kekayaan Jho Low

umno

  Roketkini.com


GEORGE TOWN: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) seharusnya membahaskan mengapa Jho Low, seorang jutawan muda Malaysia begitu kaya sehingga boleh menderma USD$25 juta kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tidak ada pun perwakilan mempersoalkan tindakan jutawan itu yang tidak memberi perhatian kepada soal kebajikan di negaranya sendiri.

Adakah sikap bisu Perhimpunan Umno ini berikutan anggapan Jho Low adalah kebal kerana kaitannya dengan orang atasan Umno serta syarikat 1MDB yang penuh  kontroversi?, kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Agensi berita Reuters sebelum ini melaporkan Jho Low, jutawan yang menetap di Hong Kong 
memberi sumbangan selama 15 tahun bernilai USD25 juta (RM83.7 juta) kepada PBB untuk memperluas khidmat berita kemanusiaannya, Integrated Regional Information Nerworks (Irin), sebuah yayasan yang berpengkalan di Switzerland.

Dalam masa sama, PAU tidak memberi keutamaan nasib rakyat Malaysia yang menderita akibat kesan kenaikan bersiri harga barangan keperluan asas.

“Pada masa yang sama, Malaysia menjadi sebuah negara penghutang meningkat lebih 100 peratus daripada RM266 bilion di penghujung tahun 2007 kepada RM570 bilion kepada pertengahan Jun 2014,

“Sementara itu hutang isi rumah Malaysia adalah kedua tertinggi di Asia pada kadar 87 peratus berbanding KDNK, menjadikan kos sara hidup satu lagi masalah yang meruncing bagi kumpulan berpendapatan rendah,” ujarnya.

Namun Guan Eng, lebih merunsingkan adalah kenyataan bekas Timbalan Menteri Dr Mashitah Ibrahim yang mendakwa kononnya orang Cina di Kuala Kedah telah membakar Al-Quran, sehelai demi sehelai sewaktu satu ritual sembahyang.

Polis dalam satu kenyataan berkata , tindakan itu dilakukan individu kurang siuman yang dihantar untuk pemeriksaan mental. Pun begitu Mashitah masih mendakwa bahawa tindakan membakar Al-Quran ini dilakukan bukan oleh individu tetapi oleh komuniti Cina di sana.

“Ini dakwaan yang sangat berbahaya dan mesti disiasat secara menyeluruh. Jika benar, tindakan tegas mesti diambil terhadap pelaku.

“Tetapi sekiranya ini tidak benar, Dr Mashitah wajar didakwa di mahkamah kerana membangkitkan isu palsu yang boleh mengakibatkan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian agama.

Tegas Guan Eng, dakwaan liar sebegini tidak menghiburkan, malah merbahaya kepada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. – Roketkini.com

Tiada ulasan: