Selasa, 25 November 2014

Tanya Najib, siapa pemimpin muda yang beliau cari

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Umno mungkin dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang muda dari segi umurnya, tetapi parti itu tetap sebuah parti yang mempunyai penyakit seperti penyakit orang tua.

Bagi Apan Alias, jika pun Hishammuddin Hussein diusahakan untuk mengambil alih kepimpinan parti sekali pun, adakah dia pasti Umno itu tidak menghidapi penyakit tua.

"Adakah persepsi rasuah yang melekat kuat kepada Umno itu akan hilang jika Hisham mengambil alih walaupun Hisham itu masih muda," tanya beliau menerusi blognya.

Beliau merasakan Azeez Rahim masih muda tetapi adakah negara akan selamat jika Azeez diberikan tempat utama untuk menjaga negara dan rakyat diserahkan masa depannya kepada Azeez, misalnya.

Menurutnya, ramai pemimpin dalam Majlis Tertinggi sekarang ini masih muda tetapi remajakah Umno itu jika diserahkan kepimpinan negara kepada mereka.

Baginya, Umno tetap akan menghidap penyakit tua jika di antara mereka yang muda-muda dalam Majlis Tertinggi Umno itu memimpin negara.

"Apakah yang tuanya dalam Umno itu? Tuanya Umno itu ialah dari segi penyakit terminal yang sedang mereka hadapi. Apakah penyakit tua yang sedang Umno hadapi itu?" tanya beliau lagi.

Penyakitnya, kata beliau ialah penyakit sudah lemah daya pemikiran dan lemah dalam mentadbir rakyat dan negara.

Jelasnya, rasuah itu merupakan penyakit ‘terminal’ yang tidak lepas dari Umno kerana rasuah sudah menjadi budaya yang tidak lagi salah untuk dilakukan oleh pemimpin Umno sekarang ini.

Tambahnya, sagi satu penyakit yang dihidapi oleh Umno sekarang ialah mereka sudah hilang ingatan tentang bagaimana pimpinan terdahulu membina parti itu.

Menurutnya lagi, mereka sudah tidak dapat membezakan di antara tangan kanan dan tangan kiri, yang mana satu yang baik dan yang buruk dilakukan oleh pimpinan dahulu pun sudah tidak mereka ketahui lagi.

Beliau berpandangan, fikiran pimpinan Umno dalam Majlis Tertinggi walaupun ada yang muda seolah-olah sudah mengidap penyakit terencat akal.

Menurut Aspan, lepas satu isu dan skandal timbul akan datang lagi satu isu dan skandal besar yang akan berlaku di hadapan mata rakyat.

Bagi beliau, pemimpin-pemimpin muda termasuk memainkan peranan dalam skandal-skandal besar yang dilakukan oleh Umno itu, setidak-tidaknya mendiamkan diri dan membiarkan ia berlaku kerana kepentingan masa depan peribadi mereka.

"Oleh itu kita bertanya kepada Najib, siapakah pemimpin muda yang beliau hendak cari itu?" soal beliau. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: