Bekas perdana menteri Tun Dr Abdullah
Ahmad Badawi mengingatkan bahawa Akta Hasutan bukanlah alat untuk diguna
bagi mengekalkan kekuasaan Umno.
Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa
Akta tersebut akan dikekalkan, Abdullah menulis di blognya: "Kekuasaan
dan kekuatan Umno datangnya dari sokongan rakyat".
"Ingatlah, jika rakyat sudah tidak menyokong kita, tiada rang
undang-undang di bumi Allah ini yang akan menyelamatkan Umno dari
kehilangan kuasa," katanya.
Abdullah berkata, beliau menyokong keputusan kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948.
"Saya menyokong pengekalan atau pun penggubalan mana-mana rang
undang-undang yang menjaga keharmonian negara kita, yang menegakkan
perlembagaan kita, yang menentukan perjanjian kontrak sosial yang
dimeterai oleh bapa-bapa kita ditepati, dan yang menentukan Persekutuan
Malaysia tidak dihancurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ini
semua saya sokong," katanya.
Katanya, beliau tertarik dengan ucapan dasar Najib di perhimpunan agung Umno tahun ini.
"Selain memperingatkan ahli-ahli Umno akan sejarah perjuangan Umno dan
juga betapa pentingnya semangat solidariti, beliau juga sangat prihatin
dengan keresahan, kerisauan dan juga keinginan orang Melayu secara
amnya, dan ahli-ahli Umno khususnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan