Isnin, 17 November 2014

Perkampungan nelayan, harga barangan dan GST



Oleh Lokman Mustafa


Sekitar jam 10 pagi Selasa beberapa minggu lepas, saya memulakan perjalanan ke kampung Sungai Ular di Kuantan. “Mengapa Sungai Ular?” soal seorang rakan.

“Saja terjah, dah lama tak ke sana,” jawab saya ringkas, sambil menggunakan ungkapan yang kini sinonim dengan MB Azmin Ali.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dengan menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur mengambil masa kira-kira empat jam. Selepas terowong di kilometer 30 Lebuhraya Karak, saya berhenti seketika buat membasahkan tekak di kawasan Rehat & Rawat Genting Sempah.


Saya meneruskan perjalanan setengah jam kemudian dan tiba di Tol Jabor kira-kira jam 2.30 petang. Lambat ke? Mungkin saya memandu agak perlahan.

Saya memang gemarkan suasana pesisir Pantai Timur Semenanjung. Panoramanya memberi ketenangan yang tak mungkin ditemui di ibukota.

Kali pertama saya ke perkampungan nelayan Sungai Ular di Cherating kira-kira lapan tahun lalu. Saya rindukan suasananya dan bertekad ingin kembali jika ada kelapangan.

Setibanya di kampung tradisional itu, saya disambut pemandangan Laut China Selatan yang mengujakan. Bot-bot nelayan berbaris di gigi air dan para nelayan kelihatan sibuk memunggah hasil tangkapan.

Saya menapak ke sebuah gerai kecil yang terletak berhampiran jeti Sungai Ular. Selepas memilih ikan-ikan segar yang baru dinaikkan, saya menunggu pemilik gerai menyediakan lauk kari dan masak kicap buat makan tengahari.

Sambil menjamah nasi panas, saya memulakan perbualan dengan seorang nelayan. Dia hanya mahu dikenali dengan nama panggilannya, Mamat.

Mamat menjadi nelayan sejak berusia 17 tahun. Dia ke laut pada awal pagi dan pulang sekitar 3 atau 4 petang. Dia risau kerana tengkujuh bakal tiba tak lama lagi.

Tahun lepas, Kuantan dilanda banjir besar ketika musim peralihan monsun itu. Mereka yang bergantung kepada laut bagi sumber rezeki sepertinya tidak dapat meraih sebarang pendapatan kerana tak berani melakukan tangkapan selama dua bulan.

Namun, Mamat berkata memang ada di kalangan rakan-rakannya yang tetap keluar menangkap ikan walaupun sedar bahaya yang bakal menimpa.

Menurut Mamat lagi, pada hari-hari biasa, dia mampu memperoleh sehingga RM65 sehari hasil titik peluhnya.

“Tak cukup,” katanya ringkas. “Harga barang makin mahal,” tambahnya lagi.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana sepertinya (dan juga saya) terbeban dengan peningkatan harga barangan serta bahan bakar. Mamat juga harus memikirkan keperluan empat orang anaknya yang masih bersekolah.

Tiba-tiba dia bertanya tentang GST kepada saya. “GST?” saya menyoal kembali. Dengan keindahan alam semula jadi di depan mata, isu itu sebenarnya seakan terlepas dari kotak fikiran saya.

“Sudah tentu ramai yang menentangnya dan mahukan lebih penjelasan,” jawab saya, tanpa mampu mengulas lebih lanjut. Nota-nota saya semuanya di dalam komputer riba dan saya tak berkesempatan membeleknya ketika itu.

Kami meneruskan perbualan selama hampir setengah jam lagi tentang kehidupan nelayan, bantuan yang diberikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebagainya.

Mamat kemudian meminta diri sambil saya memesan secangkir lagi kopi ginseng tongkat ali.

Ketika nelayan Pantai Timur itu melangkah pergi, saya terfikir, “Dalam usaha bercuti, aku masih juga dihambat isu GST.”

Namun yang paling mustahak, bagi saya, adakah pemimpin-pemimpin negara dari golongan bangsawan yang akan sibuk berhimpun hujung bulan ini mendengar keluhan Mamat dan golongan miskin lain sepertinya?

Tiada ulasan: