Ghazali (dua kiri) menandangi buku tetamu di booth Jabatan Penerangan Daerah Kuantan sambil diperhatikan Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain. Ghazali (dua kiri) menandangi buku tetamu di booth Jabatan Penerangan Daerah Kuantan sambil diperhatikan Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain.
 
 
KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) percaya kira-kira 3,000 ahli ajaran sesat Millah Abraham sedang bergerak aktif di negeri ini dan berusaha menarik golongan muda dalam ajaran itu.

Millah Abraham juga dipercayai pecahan daripada Gerakan Pemuda Kahfi Indonesia yang difatwakan haram oleh Jabatan Mufti Pahang sekitar tahun 2009 dikesan di Felda Keratong tahun lalu.
Ahli kumpulan berkenaan bukan sahaja bergiat di Pahang tetapi tetapi turut dikesan di Selangor.

Timbalan Pengarah Jaip, Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz berkata, mereka dikesan mempunyai wakil di setiap daerah bertujuan membawa ajaran itu terutama kepada golongan berpelajaran dan orang muda.

“Saya kira ajaran mereka ekstrem dan kumpulan ini bukan sahaja menolak Islam, malah menganggap umat Islam hari ini sesat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival Halal Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, di sini, semalam.

Ghazali berkata, Jaip kini dalam usaha membanteras kegiatan dengan menghebahkannya melalui Program Jelajah Akidah dengan kerjasama semua pihak.
Menurutnya, Jaip mahu membendung gejala yang dibawa kumpulan ajaran yang dikenali juga sebagai Millah Ibrahimilah dengan memberi penjelasan secepat mungkin kepada masyarakat.

“Kita akan memberi penjelasan terutama kepada golongan muda dan individu yang berpendidikan tinggi kerana sasaran mereka adalah dalam kalangan berkenaan.

“Individu yang terlibat akan terlalu taksub dan tidak boleh diberi nasihat biasa dan kita berharap masyarakat berhati-hati apabila berdepan dengan individu terbabit,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mengesyaki ada yang terlibat supaya memaklumkan segera kepada Jaip dan pihak berkuasa.

Kumpulan itu dikesan Oktober tahun lalu di Jerantut selepas ibu bapa kepada seorang pemuda di daerah itu membuat aduan kerana hairan dengan pendapat dan pandangan anaknya itu mengenai Islam.

Difahamkan, enam fasa dalam ajaran sesat ini iaitu pertama, dakwah secara sembunyi dan ini sudah dilepasi, kedua adalah dakwah secara terang-terangan yang merupakan fasa terkini, ketiga fasa hijrah serta fasa keempat adalah jihad kital iaitu bunuh orang yang tidak mengikut ajaran mereka, fasa kelima mewujudkan sistem pemerintahan sendiri dan keenam menubuhkan negara.

Ahli kumpulan itu juga dikatakan berdakwah dengan cara bercerita secara santai seolah-olah dalam sesi perbincangan.

Mereka  akan pergi pergi kepada kumpulan pemuda yang sedang berkumpul serta menyampaikan dakwahnya itu.