Khamis, 27 November 2014

Ada 'tentangan', Najib timbang naib Wanita

MALAYSIAKINI


 


Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan beliau mendengar hasrat dan akan berunding dengan semua pihak dalam parti bagi mewujudkan jawatan naib presiden khusus kepada Wanita Umno.

Beliau yang juga perdana menteri berkata jawatan kepada Wanita itu turut diperluaskan di peringkat bahagian dengan memperuntukkan jawatan naib ketua bahagian kepada Wanita.

Berucap ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno tahun ini, Najib berkata beliau menyedari adanya "resistance" (penentangan) berhubung permintaan mereka.

"Dalam perhimpunan kali ini, saya tahu kepimpinan Wanita menyatakan hasrat dan diberi peranan yang lebih.

"Mereka tidak lagi disebut tulang belakang Umno, sebaliknya mahu lebih daripada itu.

"Hal ini saya dengar, kita dengar, timbang dan runding dengan semua pihak, sama ada jawatan naib presiden atau naib ketua bahagian.

"Saya akan duduk bincang, cari jalan terbaik untuk memperkukuhkan parti kita," katanya.

Menjawab permintaan Pemuda dan Puteri Umno yang mahu lebih tempat dan jawatan, Najib sekali lagi menyatakan beliau sedia menimbang hasrat kedua-dua sayap itu tetapi mestilah menepati syarat yang ditetapkan.

"Mereka mesti menepati kriteria jil (generasi) Umno. Mereka mesti diuji. Saya dan timbalan presiden akan menjadi penyelia," katanya.

3 pengisian 'jil' Umno

Sebelum itu, Najib bercakap mengenai pengisian dan pentarbiahan untuk melahirkan "jil Umno" iaitu pertama, mereka mestilah cerdas, pintar berilmu, berkemahiran dan beramal dengan ilmu yang diperoleh.

"Kedua dilatih dengan akhlak dan kesederhanaan, tidak jadi pelampau, tidak juga liberal, "katanya.

Sementara syarat ketiga adalah mereka yang belajar di luar negara, tetapi nilai ketimuran mereka tidak terpisah dengan nilai di tanah air.

"Pewaris kepimpinan Umno, adalah daripada generasi yang kuat," kata Najib.

Tiada ulasan: