Ahmad Sidi Ismail Ahmad Sidi Ismail
 
 
KUALA TERENGGANU – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Terengganu menasihatkan ahli politik yang sudah memegang jawatan bagi tempoh terlalu lama dalam parti berundur demi kelangsungan Umno di negara ini.

Yang dipertuanya, Datuk Ahmad Sidi Ismail berkata, orang lama terutama yang sudah tidak mendapat tempat tetapi tetap berkeras mahu kekal dalam parti atau bertanding dalam pilihan raya umum perlu sedar masa mereka sudah berlalu.

Sebaliknya beliau berkata, tempat tersebut perlu diisi dengan pemimpin baru yang lebih berkaliber dalam meneruskan perjuangan parti.

“Mereka yang sudah lama itu, insaflah diri. Kalau patut berundur, berundurlah. Kalau (selepas itu) orang parti tidak beri tempat kepada kita, kena terima hakikat masa kita sudah berlalu. Dulu orang sokong kita, sekarang kita pula sokong orang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peremajaan Umno sambil menjelaskan, sudah ramai pemimpin Umno yang baru dan muda terlibat dalam Umno selain mendapat tempat dan aktif dalam parti.

Jelasnya, orang muda yang bakal pemimpin pelapis perlu ditonjolkan sebagai persediaan terhadap peralihan kepimpinan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Ahmad Sidi mengharapkan orang muda yang terlibat dalam parti menunjukkan komitmen serius serta bertanggungjawab dengan tidak menjadikan Umno sebagai batu loncatan untuk kepentingan sendiri dan kroni.

“Orang muda kena tunjuk kebolehan dan kemampuan untuk berjuang demi bangsa, agama dan tanah air, bukannya masuk politik dengan tujuan mengumpul kekayaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Sidi turut berharap Perhimpunan Agung Umno 2014 yang berakhir semalam di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) diberi penekanan oleh peringkat kepimpinan.

Beliau menjelaskan, perhimpunan parti yang padat dengan saranan, idea, pandangan, fikiran, kritikan dan sindiran tidak seharusnya diketepikan atau hanya bersifat sementara.

Sebaliknya, semangat itu perlu dibawa keluar bersama-sama bagi memastikan agenda perjuangan Umno tidak hanya hangat-hangat tahi ayam.

“Saya sarankan kepada pucuk pimpinan Pusat atau negeri, segala keputusan atau penerimaan di peringkat bawah ambil perhatian yang serius dan tindakan wajar. Jangan hanya keadaan dalam dewan panas tetapi tindakan yang diambil tidak sewajarnya,” katanya.