Jumaat, 28 November 2014

Pakatan akan tolak penambahan kerusi jika tidak adil

SPR

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sekali lagi menegaskan akan menolak sebarang penambahan kerusi yang tidak adil oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui persempadanan semula yang dijalankan.

Ia berikutan kembimbangan BERSIH dan Tindak Malaysia sebelum ini tentang kemungkinan Pakatan akan bersetuju dengan penambahan kerusi Parlimen oleh SPR.

“Kami ingin menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian yang telah dibuat antara Pakatan dengan SPR, “ kenyataan Jawatankuasa Persempadanan Semula Pakatan Rakyat dipetik.

“Pakatan tidak boleh menerima mahu pun menolak penambahan kerusi Parlimen sebelum SPR mengemukakan peta pilihanraya yang baru.

“Sebarang penambahan kerusi yang bersifat tidak adil akan kita tolak,” kata jawatankuasa itu yang dianggotai Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Serdang, DAP), Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai, PKR) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai, PAS).

Persempadanan semula yang dijangka dibuat hujung tahun ini menimbulkan kembimbangan bahawa ia akan dibuat untuk memberi kelebihan kepada UMNO-BN pada pilihanraya umum akan datang.

Jawatankuasa itu turut menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengendalikan 
persempadanan semula seperti yang diamalkan di United Kingdom, ekoran integriti SPR yang amat diragui.

“Sekurang-kurangnya, SPR perlu libatkan pihak dan pakar pemerhati pilihanraya seperti Merdeka Centre, UMCEDEL dan IDEAS bagi memastikannya adil dan saksama,” katanya.

Jawatankuasa itu juga menyokong permintaan Majlis Persempadanan Semula Pakatan Rakyat Pulau Pinang agar SPR bekerjasama dengan mereka secara langsung dalam urusan itu.

“Sebelum ini SPR telah bekerjasama secara dekat dengan UMNO, jadi tiada sebab mengapa mereka enggan bekerjasama dengan Pakatan,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: