Seorang pakar menunjukkan teknik menyelamatkan diri kepada Wan Abd Aziz dan peserta seminar di SMK Tengku Mahmud II. Seorang pakar menunjukkan teknik menyelamatkan diri kepada Wan Abd Aziz dan peserta seminar di SMK Tengku Mahmud II.
 
 
BESUT - Statistik kes rogol di Besut dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak satu kes atau 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebanyak 18 kes rogol dilaporkan bermula Januari sehingga Oktober lalu berbanding hanya 17 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, statistik itu menunjukkan Besut berada di tempat kedua tertinggi bagi kes tersebut di negeri ini selepas Kuala Terengganu yang merekodkan 23 kes berbanding 18 kes tahun lalu.

“Bagaimanapun statistik bagi kes berkenaan yang dilaporkan di seluruh negeri ini menunjukkan penurunan iaitu hanya 98 kes berbanding 111 kes bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penutup Seminar ‘Manisnya Menjadi Gadis’ di bawah Program Kempen Kesedaran Wanita  (WAC) 2014 di SMK Tengku Mahmud II, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Wan Rukman Wan Hassan; Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hassan dan Pengetua  SMK Tengku Mahmud II, Che Zainum Che Salleh.

Dalam pada itu, Wan Abd Aziz tidak menolak kemungkinan masih ada kejadian rogol yang tidak dilaporkan kerana disebabkan mangsa takut membuat laporan atau ahli keluarga tidak mahu memanjangkan perkara itu atas alasan bimbang maruah tercemar.

Beliau berkata, kebanyakan kes rogol yang berlaku melibatkan pelajar sekolah menengah yang terjebak dalam perhubungan seks.

“Sebahagian besar kejadian rogol ini melibatkan teman lelaki sama ada yang baru dikenali atau sudah lama menjalinkan hubungan cinta.

“Kejadian ini hanya diketahui apabila pelajar perempuan dibawa ke hospital kerana didapati mengandung atau melahirkan anak luar nikah,” katanya.

Menurutnya, mengikut undang-undang, mana-mana lelaki yang melakukan persetubuhan ke atas perempuan di bawah usia 16 tahun walaupun dengan kerelaan dianggap perbuatan rogol dan boleh dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan rotan.

Mengulas mengenai seminar, Wan Abd Aziz berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar terhadap trend jenayah semasa, di samping langkah pencegahan yang boleh diambil sekiranya berlaku kejadian jenayah.