KUALA LUMPUR - Kesungguhan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan Akta Hasutan 1948 dan hak orang Melayu dilihat kembali memberikan keyakinan masyarakat kepada Umno.

Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Said berkata, rakyat Malaysia  terutamanya Melayu boleh meletakan harapan yang tinggi pada perjuangan  parti itu.

"Keputusan presiden itu dilihat tepat pada masanya yang mana mahukan Akta Hasutan dikekalkan, di samping mempertahankan hak agama lain.

"Kita melihat presiden serius mendengar hati nurani rakyat dalam membuat keputusan ini iaitu mempertahankan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno yang juga Ketua Pemuda Pulai, Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman berkata, ucapan penggulungan presiden parti telah memperjelaskan hampir kesemua isu yang berminda di minda sama ada perwakilan, ahli Umno dan juga rakyat.

Katanya, Najib telah menyentuh mengenai kegusaran mengenai nasib ekonomi orang Melayu, tanah rizab, hala tuju anak muda Melayu yang menganggur dan peremajaan parti.

"Presiden Umno telah memberi jaminan untuk memastikan kawasan luar bandar yang menjadi kubu kuat Umno mendapat limpahan pembangunan.

"Begitu juga dengan isu pembangunan pendidikan anak-anak Melayu apabila Najib berjanji untuk memperkasakan Mara sebagai pemacu kepada pembangunan ilmu bumiputera," katanya.

Beliau juga berkata, jaminan Najib yang mahu memastikan Umno terus relevan sebagai parti yang menyediakan landasan masa depan untuk pemimpin muda dan membuktikan bahawa beliau tidak pernah beromong kosong.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Tebrau, Syahrin Md Jamaluddin berkata, ucapan Najib adalah satu penggulungan yang sangat melegakan kepada masa depan Melayu dan Malaysia keseluruhannya.

Menurutnya, kunci solidariti yang perlu menjadi elemen wajib dalam Umno diperkukuhkan lagi dek jaminan presiden tentang perlunya Umno menjadi payung dan pelindung bangsa serta negara.

"Presiden parti telah memberikan ucapan penggulungan yang begitu tepat dan beliau telah meniupkan kekuatan roh Umno dalam setiap jiwa ahlinya.

"Konsep solidariti yang menjadi tunjang kepada kesinambungan sesebuah organisasi diterjemahkan dalam kata-kata semangat yang saya jamin mampu membangkitkan kesepaduan dalam diri ahli Umno," katanya.