Ahad, 23 November 2014

Serangan tak jejas semangat Malaysiakini

MALAYSIAKINI


 


Serangan demi serangan yang dihadapi Malaysiakini sejak 15 tahun lalu tidak berjaya menjejaskan semangat portal berita bebas itu, kata seorang pengasasnya, Steven Gan.

Dalam ucapannya kepada lebih 1,000 orang penyokong yang hadir ke majlis sambutan ulang tahun ke-15 itu, Gan berkata, laman web itu akan meneruskan misinya untuk menyatakan kebenaran.

Beliau mengumpamakan Malaysiakini sebagai “budak-budak sekolah nakal” yang tidak serik melawan pembuli dan tidak akan berganjak.

“Dan kami tidak ingin berundur sekarang atau pada bila-bila masa pun. Dengan sokongan anda, kami berhasrat untuk terus kekal untuk masa-masa mendatang,” katanya.

Tambahnya, Malaysiakini akan meneruskan tugas untuk memastikan ahli politik yang dipilih oleh pengundi bertanggungjawab.

Ketika Gan memulakan ucapannya, bunyi alat modem yang sering digunakan di awal penubuhan Malaysiakini, 15 tahun lalu kedengaran melalui corong pembesar suara.

“Tidakkah bunyi itu menggamit memori lama?” kata Gan yang juga ketua pengarang Malaysiakini.

Katanya, melalui modem 56K itulah laman Malaysiakini berjaya dicapai oleh seluruh dunia pada waktu itu.

“Pada masa ini, kita ada kelajuan data 400 kali lebih laju daripada modem ini. Tentulah ia satu dunia berbeza pada masa itu.

“(Perdana menteri pada waktu itu, Tun Dr) Mahathir Mohamad berkuasa. Rakyat dalam ketakutan kerana dibayangi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Politik dibincangkan dengan berbisik. Polis cawangan khas di merata-rata.

“Tiada blog, tiada Facebook, tiada Twitter, tiada Instagram. Apa yang kita ada hanyalah telefon bimbit sebesar bata – dan Malaysiakini,” katanya.

Katanya, Malaysiakini membuat liputan dua perbicaraan kes liwat, tiga perdana menteri, empat pilihan raya umum, siri pilihan raya kecil dan juga penahanan ke atas dua wartawannya.

“Kami digelar pengkhianat oleh seorang perdana menteri, Mahathir, dan disaman oleh seorang lagi, (Datuk Seri) Najib Razak,” katanya.

Beliau turut mengimbau semua siri serangan siber dan tindakan pihak yang menghalau Malaysiakini dari sidang media, selain operasi polis yang turut merampas 19 komputernya.

“Bila serangan ini gagal menggugat semangat kami, mereka turut menggunakan ilmu hitam dengan melemparkan cat merah dan meninggal itik yang hampir mati di tangga pejabat kami.

“Itik tersebut – seperti juga Malaysiakini – masih hidup lagi,” katanya yang turut memperkenalkan 70 orang kakitangan Malaysiakini.

Tiada ulasan: