Roketkini.com
KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian
Ming berkata, liabiliti jangka panjang Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ)
hanya dapat diselesaikan melalui ‘bailout’ yang dijangka
sekurang-kurangnya sehingga tahun 2036.
“Berdasarkan kedudukan kewangan semasa PKA, keupayaannya menyelesaikan liabiliti-liabiliti jangka panjang tertakluk kepada bantuan kewangan berterusan daripada kerajaan,” lapor kenyataan tersebut.
Kata Kian Ming. PKA kini terbeban akibat komitmen kewangan besar berkait pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
“Dalam empat tahun sejak 2010, PKA mengalami kerugian bersih RM674 juta. Pada 2013, keseluruhan pembiayaan kewangan yang dibayar PKA berjumlah RM203.8 juta, kurang sedikit dari pendapatan PKA yang berjumlah RM217.4 juta,” ujarnya.
Menurut Kian Ming, pinjaman jangka masa panjang PKA bertambah dari RM3.5 bilion pada 2010 kepada RM4.24 bilion pada 2013, manakala jumlah keseluruhan pinjaman PKA termasuk pinjaman jangka pendek bertambah dari RM4.06 bilion pada 2010 kepada RM4.41b pada 2013.
Laporan Tahunan 2013 PKA menyatakan, pada 19 Disember 2013 Kementerian Kewangan bersetuju menstruktur semula baki pinjaman kerajaan kepada Lembaga Pelabuhan Klang dengan kadar faedah empat peratus dan penalti dua peratus setahun.
Manakala tempoh penangguhan selama empat tahun bermula 2014 sehingga 2017 dengan syarat pembayaran semula selama 19 tahun bermula 2018 sehingga 2036.
Namun kata Kian Ming, dalam tempoh penangguhan PKA masih perlu membuat bayaran faedah kira-kira RM285 juta setahun untuk 19 tahun bermula dari 2018 sehingga 2036.
“Sedangkan pendapatan semasanya hanya RM217.4 juta, dan PKA masih perlu membayar perbelanjaan lain seperti kos kakitangan dan kos susut nilai.
“Keupayaan PKFZ menjana pendapatan mencukupi bagi bayaran faedah yang dipersoalkan. Ini kerana pendapatan PKFZ bagi tahun kewangan 2013 hanya RM10.1 juta dan keuntungannya hanya RM209,615,” ujar Kian Ming.
Ketua Pegawai Eksekutif PKFZ, Chia Kon Leong menyatakan satu perjanjian besar akan dibuat bersama syarikat China, SM International Wholesale (China) Center yang akan mengubah PKFZ menjadi hab borong antarabangsa.
Manakala bekas pengerusi PKA, Lee Hwa Beng dalam temubual bersama The Edge menyatakan keraguannya sama ada PKFZ mampu menjana keuntungan bagi kos pelaburan yang tinggi.
“Sama ada pelaburan dijamin dan mendatangkan keuntungan kepada PKA masih belum jelas. Kita tidak mahu melihat PKFZ gagal dan mengakibatkan wang pembayar cukai dibelanjakan untuk menyelamatkan PKA.
“Mungkin kerajaan perlu menstruktur semula pinjamannya kepada PKA. Dengan kata lain, pembayar cukai perlu terus menanggung akibat skandal PKA sehingga sekurang-kurangnya 2036,” kata Kian Ming. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan