MALAYSIAKINI
Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu menetapkan 7 Dis ini bagi
penghujahan akhir permohonan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
untuk mengetepikan penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah
RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Bukit Besi Mohd Mohd Shamsul Mat Amin.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu berikutan kegagalan
kali kedua pihak plaintif mengemukakan seorang lagi saksi daripada
akhbar Kosmo untuk memberi keterangan.
Peguam mewakili Abdul Hadi, Asmuni Awi memberitahu pemberita, mahkamah
menetapkan tarikh itu berikutan seorang saksi plaintif daripada akhbar Kosmo tidak hadir sungguhpun waran tangkap telah dikeluarkan, tetapi waran tangkap itu tidak dapat dilaksanakan.
Abdul Hadi tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini, bagaimanapun
kira-kira 300 penyokong beliau hadir di perkarangan mahkamah.
Pada 28 Okt lalu, Abdul Hadi dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)
Alur Limbat Ariffin Deraman memberi keterangan sebagai saksi defendan
manakala plaintif memanggil seorang saksi iaitu Adun Bandar Azan Ismail
bagi memberi keterangan.
Pada 23 Feb lepas, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk
membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal
memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap
saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Dis tahun lalu.
Pada 27 Feb lepas, Abdul Hadi memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu.
Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa ada calon
PKR menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke-13 tahun lepas
sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit
Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi
dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013
telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya
sebagai calon dan ahli perniagaan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan