Ahad, 23 November 2014

Tindakan undang-undang tak gugat DAP bongkar isu 1MDB

lge

Roketkini.com


KOTA KINABALU: Notis tuntutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Uata Tony Pua tidak menggugat DAP untuk terus membongkar kepincangan dan salahurus pentadbiran 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata, DAP akan terus memberi tekanan kepada kerajaan terutamanya mengenai penggunaan berpuluh-puluh bilion ringgit bagi penyelesaian hutang dan pembiayaan operasi 1MDB, demi kepentingan awam.

“Cadangan saman Perdana Menteri tidak menjejaskan kecekalan kami dalam mempersoal dan terus mendedahkan 1MDB,” kata Guan Eng dalam ucapannya sempena  konvensyen tahunan DAP Sabah di Kota Kinabalu senalam.

Ujarnya, tindakan Najib adalah kes bersejarah kerana pertama kalinya pertama seorang Perdana Menteri memfailkan saman terhadap ahli parlimen pembangkang.

“Jelas sekali ini bukannya tindakan fitnah biasa berhubung dengan kedudukan peribadi Perdana Menteri, tetapi mempunyai kesan meluas bagi implikasi politik,” kata Guan Eng.

Beliau turut memalkumkan, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan yang juga Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo akan bertindak sebagai peguam untuk mempertahankan Pua.

Dalam pada itu kata Guan Eng, meskipun notis undang-undang terhadap Pua dibuat secara peribadi, sebarang keputusan dibuat 1MDB dan Kementerian Kewangan melibatkan kepentingan awam

“Ia tidak akan menyekat perbincangan awam atau memadamkan sebarang liputan media mengenai 1MDB, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hutang RM42 bilion dan RM 49 bilion liabiliti.

“Ini hanya menyebabkan kerugian kepada 30 juta rakyat Malaysia dan bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” ujarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan notis tuntutan terhadap Pua atas satu ucapan yang didakwa menggambarkannya sebagai pemimpin korup.

Notis tuntutan menyebut, ucapan Pua dibuat pada satu majlis anjuran DAP Petaling Jaya pada 3 November menunjukkan Najib tidak layak mengetuai pentadbiran negara.

Notis berkenaan menuntut Pua memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang mendakwa “Najib mencipta skandal terbesar dalam sejarah Malaysia.

Ia turut menuntut agar rakaman ucapan berkenaan, yang disiarkan oleh media pro-Pakatan Rakyat, Media Rakyat, dikeluarkan dari dalam talian Youtube. – Roketkini.com

Tiada ulasan: