IPOH –
Presiden Parti Gerakan Datuk Mah Siew Keong merupakan calon paling
sesuai untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) bagi pilihan
raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, kata penasihat parti itu Datuk
Chang Ko Youn. Beliau berkata ini kerana Siew Keong mempunyai rekod
prestasi yang baik dalam membawa pembangunan, sumbangan dan menabur
khidmat kepada komuniti di Teluk Intan, sejak beberapa tahun lepas.
“Saya
percaya beliau paling layak dan calon paling sesuai bagi pilihan raya
kecil ini kerana pengundi Teluk Intan telah melihat prestasi, rekod
perkhidmatan, personalitinya dan lebih penting beliau ialah anak
tempatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Charity Food
Fair’ Rumah Orang Tua Kampung Simee di sini hari ini.
Bagaimanapun
Ko Youn berkata, senarai calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan akan
dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
selaku Pengerusi BN.
Parti
Gerakan juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan rundingan
mengenai calon yang paling sesuai dan berpotensi untuk mewakili BN,
katanya.
Ko Youn
berkata, Gerakan sedang mempersiapkan untuk menghadapi PRK itu dan
adalah ‘malang dan terlalu cepat” kerana ia perlu diadakan dalam tempoh
60 hari mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Pastinya
PRK yang akan datang ini akan menjadi perlawanan amat sukar
memandangkan senario politik semasa tetapi Gerakan mempunyai rangkaian
yang kuat, keahlian dan pasukan berdedikasi yang semuanya akan
digerakkan untuk menghadapi PKR…kami mempunyai rekod prestasi yang
baik, nama dan juga dikenali masyarakat.
Beliau
berkata senario PRU13 tidak sama dengan keadaan semasa memandangkan
pada tahun 2013, pengundi dipengaruhi khabar angin yang mencetuskan
kemarahan seperti dakwaan kononnya berlaku kemasukan warga asing untuk
mengundi.
“Pada ketika itu pembangkang juga dilihat mempunyai harapan untuk menjadi kerajaan.
“Pada ketika itu pembangkang juga dilihat mempunyai harapan untuk menjadi kerajaan.
Kali ini
saya berpendapat pengundi mahu menghargai sumbangan BN dan lebih baik
mereka memilih calon BN yang boleh memberi perkhidmatan berkesan serta
menjadi jambatan antara penduduk Teluk Intan dan kerajaan,” katanya.
Siew Keong pernah bertanding dan memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU10 dan PRU11 bagaimanapun tewas pada PRU12 dan PRU13.
PRK
Parlimen Teluk Intan perlu diadakan ekoran wakil rakyatnya dari DAP
Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM), Khamis lepas.
Pada PRU13, Leong Peng menewaskan Siew Keong sebagai calon BN dan calon Bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.
Mendiang sebelum ini pernah menjadi Adun Pasir Bedamar selama tiga penggal sejak tahun 1999.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan