Selasa, 27 Mei 2014

Hina pengundi Cina: Zahid perlu mohon maaf, kata Kit Siang

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Ketua parlimen DAP Lim Kit Siang (tengah) gesa naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minta maaf‎ dari  pengundi Cina. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Mei, 2014.Ketua parlimen DAP Lim Kit Siang (tengah) gesa naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minta maaf‎ dari pengundi Cina. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.


 Lim Kit Siang hari ini menyelar kenyataan naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menyifatkan pengundi Cina yang tidak mengundi Barisan Nasional (BN) sebagai tidak bersyukur.

Ketua parlimen DAP itu berkata rakyat adalah tuan dan golongan yang tidak bersyukur adalah mereka yang diberikan mandat memerintah tetapi penghinaan kepada rakyat pula dilontarkan.

‎"Ini satu lagi contoh menteri mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir dan secara ekstremis yang tidak membantu pembinaan negara.

"Dalam sistem demokrasi, rakyat adalah tuan. Mereka yang tidak bersyukur adalah mereka yang dipilih dan menghina rakyat seperti Zahid. Zahid perlu minta maaf‎," katanya pada satu sidang media di bilik gerakan DAP di Teluk Intan hari ini.

Semalam, Zahid menggelar kaum Cina di Malaysia yang masih mengundi DAP sebagai tidak bersyukur setelah kukuh dalam kedudukan ekonomi.

"Melayu dan India yang membantu ahli perniagaan Cina. Tetapi apabila mereka mengundi, mereka memilih DAP. Mereka tidak bersyukur," Zahid memberitahu kira-kira 100 orang Melayu di Durian Sebatang, Teluk Intan semalam.

Dalam perkembangan lain, Lim menggesa pengundi luar Teluk Intan agar kembali ke kampung halaman untuk melaksanakan tanggungjawab Sabtu ini.

Katanya, PRK Bukit Gelugor menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah dan Teluk Intan perlu membuktikan sebaliknya.

“Kamilah underdog. Harapan sekitar 40-60%. Namun setelah lapan hari, respon yang diterima sangat menggalakkan. Saya rasa peluang kami meningkat. Ia masih panjang bagi mendapatkan kemenangan.

“Kemenangan bergantung kepada pengundi luar kembali ke Teluk Intan. Ini kerana di Bukit Gelugor peratusan keluar mengundi hanya 46.5% setelah pengundi luar tidak pulang dan pengundi tempatan tidak membuang undi.

“Saya membuat rayuan SOS kedua pengundi luar untuk pulang. Setiap orang mesti berusaha untuk balik,” katanya.

Mengulas mengenai kekacauan yang dilakukan Pemuda Umno di beberapa negeri baru-baru ini, Lim berkata PR akan berbincang bagi mengatur strategi membasmi gangster politik dalam negara.

Katanya, insiden sedemikian mengancam keharmonian, perpaduan dan masa depan Malaysia maka ia tidak patut dibiarkan.

“Calon BN Datuk Mah Diew Keong mesti menyatakan pendirian. Bagaimana dengan semua ekstremis dan gangster politik? Saya berasa terkejut dan malu tindakan pemimpin Umno.

“Mah, inikah standard politik kamu? Mahu jadi sebahagiannya? Memalukan.

“Saya fikir Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein, Tun Tan Cheng Lock tidak boleh bersemadi dengan aman,” katanya.

Tiada ulasan: