Jumaat, 30 Mei 2014

Pilihan Raya Kecil Catatan Ringkas ke Selatan Teluk Intan


Oleh Aliff Fikri


Menara Condong, itulah perkataan yang akan muncul di kalangan orang ramai jika disebut tentang Teluk Intan. Hampir dua minggu menatap menara ini sambil mencari apakah keistimewaan yang ada selain kecondongannya, ia membuatkan fikiran saya yang vertikal turut condong untuk lekas mencari bantal dan katil.

Pada saya menara yang dibina oleh Leong Choon Cheong sebagai tangki air jika berlaku kemarau dan ‘time keeper’ yang kemudian menyondong akibat banjir besar pada 1889 dan 1895 tidaklah seunik mana, perkataan ‘unik’ itu hanya muncul kerana ia condong, kalau tidak sudah tentu diroboh penguasa seperti Penjara Pudu. (Alangkah bagusnya jika Penjara Pudu juga condong.)

Maya Lin dan Avianti Armand (atau anda) pasti punya pendapat yang berbeza.

Hampir setiap hari saya berputar ulang di sekitar Teluk Intan di kawasan Pasir Bedamar dan Changkat Jong untuk melaporkan kempen calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan harapan dia akan menang dan diangkat sebagai Ahli Parlimen di sini supaya dapat membuka lembaran baru dalam arus politik negara. Ketika sedang melangut melihat Menara Condong sambil melahap Sate ‘manis’ Wak Teni, tak semena-mena, satu ‘email’ masuk di telefon saya, tertera ayat seperti berikut:
Jadual Dyana 28 Mei 2014

“1300 Walkabout in Southern Teluk Intan with Zairil Khir Johari, meeting point: Main Ops Centre. Menuju Kampung Sungai Samak, Kampung Pulau Ganda Suli, Ladang Ulu Basir dan Ladang Ulu Bernam”

Tanpa perlu membakar rokok saya teringat sajak The Quest oleh Wystan Hugh Auden yang berkisar tentang pencarian manusia memaknai perjuangan hidup dan melakukan perjalanan untuk menghilangkan kebencian. Macam tak ada kena-mengena, tapi entah mengapa, itulah yang muncul. Atau mungkin ada kena-mengena? Terpulang.

Saya bergegas pulang, mandi, berehat dan melupakan segala-galanya untuk perjalanan jauh esok hari.

Hari kempen ke Selatan Teluk Intan, saya sempat mendengar omelan Pengarah Eksekutif Empower Maria Chin Abdullah tentang kejahilan pimpinan tertinggi UMNO-BN yang telah mengeluarkan kecaman seksis terhadap Dyana. Dengan pantas saya catit dan terus hantar pada editor kerana 15 minit lagi perlu berangkat bersama rombongan calon, wakil PAS dan tentunya petugas-petugas DAP ke lokasi seperti mana tertera dalam jadual.

Cuaca di Teluk Intan seperti biasa, panas dan terik. Kami sekitar 10 buah kereta mula bergerak sekitar jam 1.15 tengah hari. Saya menumpang kereta seorang rakan. Perjalanan dari Pusat Operasi DAP PRK Teluk Intan ke lokasi pertama mengambil masa kira-kira satu jam di atas jalan batu kerikil dan tidak rata.

Menghampiri lokasi, kami disertai oleh 3 buah kenderaan pacuan empat roda dengan bendera Pakatan Rakyat. Sebaik tiba di Markas PAS Kampung Sungai Samak, rombongan kami bersama calon DAP Dyana Sofya disambut oleh hampir 40 orang penduduk kampung. Senator PKR Syed Husin Ali dan Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan PAS Dr Dzulkefly Ahmad turut hadir.

Seperti kebiasaannya, Dyana kelihatan tenang untuk bersalam-salam, menanda tangan buku mahupun baju dan berbual-bual ringkas dengan penduduk, walaupun kelihatan sedikit penat hari ini.

“Saya datang ke sini untuk memperkenalkan diri dan mengharapkan tuan-tuan serta puan-puan semua dapat memberikan sokongan serta memenangkan Pakatan Rakyat 31 Mei ini.

“Melalui sokongan tuan-tuan, puan-puan, saya seikhlas mungkin akan membantu menyuarakan keluhan semua di Parlimen. Memang tidak mudah untuk memenangi Teluk Intan, tapi saya yakin kita mampu.

“Seperti kata mentor saya, Lim Kit Siang, marilah kita bersama melakar sejarah, mencipta keajaiban,” kata beliau dalam ucapan ringkas penuh semangat di Kampung Sungai Samak.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Pulau Ganda Suli yang mengambil masa kira-kira 20 minit dari lokasi pertama. Di persinggahan kedua ini, selain Dr Dzulkefly, kami disambut oleh Adun Batu Tiga PKR Rodziah Ismail.

Di sini, Dyana bercakap tentang 5 perkara iaitu barang naik, politik perkauman, politik samseng, suara wanita dan anak muda.

“PRK ini penting untuk kita menghantar mesej kepada BN, bahawa kita menolak barang naik tapi gaji tak naik dan membuatkan darah kita makin naik,” katanya yang kemudian menjamu selera seketika dan bergambar dengan hampir 100 orang penduduk kampung.

Melihat orang ramai menjamu selera, tanpa berfikir panjang, saya mengambil pinggan plastik, mencebuk nasi dan meletakkan dua, tiga ketul kambing dari gulai yang terhidang. Kata doktor yang merawat arwah nenek saya dulu, makan kambing boleh mengurangkan risiko atherosklerosis, sejenis penyakit yang boleh menyebabkan kematian akibat pembentukan lemak dan kolesterol, sekaligus menghalang jalan pengaliran darah.

Bercakap tentang menghalang atau halangan di tengah jalan, Hendry David Thoreau pernah mengungkapkan dalam esei panjangnya berjudul “Resistance to civil government”, pada sebuah harapan, bahawa satu hari nanti akan ada sebuah negara yang berpihak pada masyarakatnya ‘I have imagined, but not yet anywhere seen’. Sepanjang kempen ini, saya telah berjaya memaksa diri saya untuk percaya pada kalimat itu. Ya, satu ketika rakyat negara ini akan sampai pada satu titik hujung dan menyatakan bahawa mereka tidak sanggup lagi ditekan pemerintah zalim – titik di mana negara bersama alat perkakasnya telah menjadi Leviathan dalam terminologi Hobbesian.

Pemerintah korup dan menindas adalah lawak yang mesti diakhiri bukan melalui demonstrasi jalanan, tapi melalui kesedaran kritis warganya.

Saya tersedar, terlelap seketika dalam kereta, terlihat papan tanda Kampung Desa Kasih Merbau Berdarah, latarnya dipenuhi sawah padi menghijau. Tapi sayang, ini bukan lokasi seterusnyanya. Perjalanan diteruskan, kali ini ke melalui sebuah ladang, jalan merah penuh debu, kiri-kanan kelapa sawit, ‘coverage’ telefon putus-putus.

Saya pening, tidak tahu ini akibat efek kambing atau terlampau banyak menghidu debu-debu.
Debu-debu ini menyebabkan bendera-bendera BN yang memenuhi jalan juga pudar warnanya.
Kini, rombongan kami tiba di Ladang Ulu Basir, hujung Teluk Intan, 60 ke 70 kilometer dari pekan.

Biarpun bendera-bendera mereka dipudarkan oleh debu, perasaan gerun tetap menjengah melihatkan kawasan perumahan peladang yang tersusun, dewan dan masjid yang terjaga (ahh senibina tidak pernah gagal mengaburi mata) serta majoriti kaum India yang dikhabarkan telah mengisytiharkan sokongan pada Mah Siew Keong.

 Setibanya di sini, sebaik turun dari kereta, saya terus ke kedai runcit untuk membeli minuman dan rokok (tidak sepatutnya ditulis kerana merokok membahayakan kesihatan). Peniaga kedai runcit itu bertanya “Siapa datang, orang BN ke?”, saya jawap “Oh tak,tak, calon DAP,” ringkas.

Peniaga itu seraya berkata, “Saya ingat BN, sebab mereka janji mau datang bagi sumbangan lagi,” katanya sambil mula mengukir senyuman sebaik Dyana datang menghampiri untuk bersalam dan bertanya khabar.

Sebaik mengetahui, Dyana yang datang, ramai ibu-ibu keluar membawa anak mereka untuk menemui calon DAP itu dengan wajah kegirangan. Sambutan ini amat tidak dijangka. Ada di antara anak-anak ini keluar menaiki motor, melambai-lambaikan tangan pada kami, membunyikan hon motor dan sanggup menunggu di penghujung jalan.

Seorang teman, anak bandar kemudian membisikkan lagu Radiohead di telinga saya dengan lirik ‘Bring down the government, they don’t, they don’t speak for us’.

Dalam hati, saya tertanya-tanya apakah Radiohead ini sebenarnya cuba mengajak pendengarnya ‘declare war’ pada pemerintah? Patutlah pejuang hak-hak asasi suka dengar lagu mereka melalui Ipod di pojok kafe mewah bertemankan Coffee Latte.

Saya terpaksa mengakhiri perjalanan di Ladang Ulu Basir kerana kereta kami hampir kehabisan minyak dan seorang rakan juga terpaksa bergegas ke Kuala Kangsar untuk menghadiri satu upacara. Kami tidak pergi ke lokasi terakhir di Ladang Ulu Bernam. Berdasarkan khabar dari teman-teman, sambutan di sana juga cukup memberansangkan.

Walaupun amat penat dengan jalan yang berliku dan berbatu-batu, saya mengutip banyak pengalaman terutama soal perjuangan hidup dan perjalanan meleburkan kebencian yang ditanam pemerintah.

Perjalanan yang saya kisahkan ini, hanya sehari dari tempoh sembilan hari kempen penuh ranjau di Teluk Intan. Mungkin saya akan catatkan lagi beberapa pengalaman seperti diserang samseng UMNO, diprovok ketika walkabout dan peristiwa lainnya sepanjang ‘bermastautin’ di sini.

Tiada ulasan: