Selasa, 27 Mei 2014

PAS tidak pernah lupa jasa DAP, kerah seluruh jentera bantu Dyana di Teluk Intan – Hadi Awang.

photo1


Roketkini.com


TELUK INTAN: Jasa besar DAP merupakan penyebab utama mengapa PAS mengerah seluruh jentera untuk membantu Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Sabtu ini.

Demikian kata Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan semasa majlis Hi Tea di Taman Cecily, hari ini.

“Pada tahun 1978 kami telah dibuang dari UMNO dan mereka berpakat bersama MCA serta MIC untuk menumbangkan PAS di Kelantan.

“Ketika itu dibuat semacam rusuhan di Kelantan, mereka membakar tayar dan beberapa kedai. Orang yang membakarnya adalah Presiden Perkasa sekarang.

“Maka undang-undang darurat dikenakan di Kelantan dan DAP membela kami serta menentang kuat pelaksanaannya,” katanya.

Katanya, itulah antara sebab utama PAS memilih bersepakat dengan DAP, mengenepikan perbezaan dan menyokong penuh Dyana sebagai calon.

Tambah beliau, dengan adanya Dyana juga akan memberikan tambahan suara di Parlimen untuk terus memberikan tekanan kepada pemerintah.

“Dyana merupakan seorang peguam muda yang kita amat yakin boleh menentang dengan lantang segala kesalahan UMNO di Parlimen.

“Beliau bukan ‘pak turut’ atau ‘pak hangguk’ seperti calon Gerakan tapi seorang wanita muda berani yang akan membela kepentingan seluruh rakyat, termasuk rakyat di Teluk Intan,” tegasnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: