Dr. Ong Kian Ming
Antara sebab saya menyokong Dyana sebagai calon di Teluk Intan ialah, pertama, beliau telah menunjukkan kemampuan untuk berfikir secara kritis dan mandiri tentang beberapa isu nasional yang penting. Dyana juga telah mempamerkan keupayaan untuk mempertahankan pendiriannya walaupun diserang hebat oleh para penentang.
Sebagai contoh, pada bulan September 2013, Dyana mengemukakan saranan agar pelajar bukan-Melayu dari keluarga miskin diberi peluang untuk meneruskan pengajian di sebuah universiti yang mirip dengan UiTM. Dyana tidak pernah mencadangkan agar UiTM dibuka kepada bukan-Melayu. Meski pun begitu, beliau dikecam oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan dan ahli politik, termasuk pemimpin UMNO Selangor dan bekas menteri Datuk Noh Omar serta Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar. Tidak banyak Ahli Parlimen akan sanggup untuk mempertahankan pendirian seperti Dyana ketika berdepan dengan serangan sedemikian.
Seterusnya, Dyana telah mengecam cadangan sesetengah pihak untuk menjadikan UiTM sebagai “universiti Diraja” untuk ‘melindungi’ kedudukannya sebagai institusi Bumiputera memandangkan cabang universiti itu – INTEC – terbuka kepada bukan-Bumiputera.
Dyana juga tidak gentar mengkritik para pemimpin tertinggi BN-UMNO, termasuk meminta Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi agar tidak menjadikan Malaysia bahan lawak ketika menteri itu menuduh Mat Sabu terlibat dalam gerakan Syiah tanpa sebarang bukti kukuh. Dyana juga pernah mengingatkan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar bahawa Dr. Mahathir sendiri pernah mengkritik orang Melayu.
Selain itu, Dyana pernah mengajak orang ramai untuk berfikir secara kritis tentang beberapa isu besar seperti kepentingan Rukunegara, kegagalan dan bahaya Biro Tata Negara (BTN) dalam pembentukan hubungan antara kaum, serta peri penting untuk memahami dan mengingati sejarah kita.
Ciri-ciri yang saya sebutkan di atas amat penting dimiliki oleh Ahli Parlimen. Orang yang menjadi Ahli Parlimen tidak boleh gentar dan ragu untuk mempersoalkan status quo dan mengemukakan alternatif untuk membentuk negara yang sejahtera buat semua warganya. Malah, saya boleh katakan dengan yakin bahawa selama setahun menjadi setiausaha politik Lim Kit Siang, Dyana lebih kerap bersuara dan menulis tentang isu-isu negara berbanding Mah Siew Keong selama 7 bulan beliau menjadi Presiden GERAKAN.
Kedua, Dyana telah menunjukkan kemampuan untuk memegang banyak tugas sebagai setiausaha politik Lim Kit Siang. Walaupun Dyana tidak berasal dari Johor, dia sanggup berpindah ke sana untuk berkhidmat kepada para pengundi di Gelang Patah bagi menangani permasalahan mereka. Saya yakin, Dyana akan melakukan perkara yang sama di Teluk Intan.
Selama di Johor, Dyana telah menangani beberapa persoalan baru dan mencuba kaedah-kaedah baru untuk menyelesaikan persoalan yang timbul. Sebagai contoh, walaupun bukan penggemar ular atau hidupan liar, Dyana sanggup meluangkan masa untuk melawat kawasan paya bakau di Sungai Pulai untuk memahami kepentingan hutan paya bakau di sana yang sepatutnya dipelihara menurut “Ramsar Convention”. Dengan berbuat demikian, Dyana bukan saja dapat memahami kepentingan kawasan paya sedemikian bagi alam sekitar, malah juga memahami kepentingannya dalam memulihara sumber pendapatan penduduk di sekitar hutan paya bakau, terutamanya nelayan.
Sebagai langkah awal untuk membantu mengatasi permasalahan di kawasan hutan paya bakau, Dyana dan beberapa rakan dari DAP Johor serta Jaring, sebuah NGO tempatan, telah menghimpun 100 orang sukarelawan untuk menanam benih pokok bakau bagi meningkatkan kesedaran tentang perlunya memulihara kawasan hutan paya bakau.
Selain itu, Dyana juga telah mengadakan usaha untuk mendekatkan pengundi Melayu dengan wakil rakyat DAP. Dalam program ini, keluarga Dyana sendiri telah menerima Howard Lee, ADUN DAP Pasir Pinji, Perak, sebagai tetamu. Saya sendiri mendapat manfaat daripada program ini apabila Dyana ‘memasangkan’ saya dengan Muhaimin, penuntut dalam bidang penyediaan makanan dan juga penggemar permainan DOTA. Saya mendapat peluang bermalam di rumah Muhaimin di Datuk Keramat, KL, melihat beliau bermain DOTA dengan kenalan beliau secara online, dan ‘lepak’ di kedai mamak bersama kawan-kawan lamanya, termasuk Umar Azmi, aktivis mahasiswa yang telah ditangkap kerana terlibat dalam gerakan Occupy Dataran pada tahun 2012. (Umar Azmi duduk paling kanan dalam foto di bawah.)
Ketiga, Dyana sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk mempelajari perkara-perkara baru dan memperbaiki diri. Dia sering berbincang dengan rakan-rakan yang lebih berpengalaman di ibu pejabat DAP di KL dan di peringkat negeri untuk meningkatkan pengetahuannya sendiri. Dyana juga kerap menghadiri persidangan dan seminar berenaan pelbagai isu dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan isu alam sekitar untuk meraih pengetahuan baru. Dia juga sentiasa sanggup melibatkan diri dalam projek baru.
Sebelum diangkat sebagai calon, Dyana telah mengemukakan kertas cadangan untuk menghidupkan semula “Kuiz Kenegaraan” sebagai cara untuk memberikan lebih banyak pendedahan tentang perlembagaan negara, sejarah, seni, budaya, agama, pemimpin negara, dasar kerajaan dan hubungan antarabangsa. Tidak seperti kuiz yang pernah diadakan sebelum ini, Dyana mencadangkan satu format baru yang melibatkan pandangan orang ramai untuk menampilkan sebuah kuiz yang benar-benar mencerminkan masyarakat Malaysia.
Gagasan dan sudut pandang baru dalam melihat permasalahan seperti beginilah yang amat diperlukan di setiap peringkat pemerintahan. Dyana seperti angin segar bagi lanskap politik Malaysia – angin segar yang akan membawa perubahan, bermula dari Teluk Intan dan seterusnya bertiup ke seluruh pelusuk tanahair.
Saya menggesa pengundi Teluk Intan untuk mengundi Dyana berdasarkan kebolehan, keupayaan, gagasan, idealisme, semangat, tenaga muda, keteguhan sikap dan kematangan beliau. Saya menggesa para pengundi Teluk Intan untuk memberi undi yang dapat mengukuhkan politik Malaysia masa hadapan. Saya menggesa pengundi Teluk Intan untuk mengundi demi meruntuhkan rintangan perkauman, keagamaan, kebahasaan, kebudayaan, kejantinaan dan usia.
*Dr. Ong Kian Ming adalah Ahli Parlimen Serdang - Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan