Selasa, 27 Mei 2014

Maut di atas landasan kereta api


Jenazah Allahyarham Abdul Ghani menghembuskan nafas terakhir di landasan kereta api KTM Lipis akibat serangan jantung, semalam. Jenazah Allahyarham Abdul Ghani menghembuskan nafas terakhir di landasan kereta api KTM Lipis akibat serangan jantung, semalam.


KUALA LIPIS - Seorang warga emas sempat berjumpa dengan anaknya di Putrajaya sebelum meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Tanah Merah, Kelantan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, Allahyarham Abdul Ghani Yusof, 72, bersama isterinya, Che Fatimah Yusof, 68, sebelum itu menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Kajang kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, ketika sampai di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Lipis sekitar jam 5 pagi semalam, pihak KTM mengumumkan berlaku masalah kereta api tergelincir di Stesen KTM Kemubu, Gua Musang yang menyebabkan laluan terbabit ditutup sementara waktu.

“Ekoran masalah itu, semua penumpang kereta api terpaksa turun dan pihak KTM telah menyediakan bas untuk membawa mereka pulang ke Kelantan.

“Arwah Abdul Ghani bersama Che Fatimah turut turun dari kereta api berkenaan dan ketika mereka sedang berjalan melintasi landasan menuju ke bas, tiba-tiba arwah Abdul Ghani rebah serta tidak sedarkan diri,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, pihak KTM kemudiannya bertindak menghubungi pihak hospital dan polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, arwah Abdul Ghani disahkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian dan jenazahnya telah dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati arwah Abdul Ghani meninggal dunia akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Jenazah arwah Abdul Ghani telah dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Merah, Kelantan,” katanya

Tiada ulasan: