MALAYSIAKINI
Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno di Pulau Pinang hari
ini membuat laporan polis terhadap ADUN Seri Delima R.S.N Rayer kerana
mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam beberapa ceramah kempen
pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, baru-baru ini.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Nibong Tebal.
Antara yang membuat laporan polis itu ialah Pemuda Umno Bahagian Nibong
Tebal, Pemuda Umno Bahagian Bukit Mertajam, Pemuda Umno Bahagian Tasek
Gelugor, Pemuda Umno Balik Pulau, Gabungan NGO Islam Pulau Pinang,
Gerakan Belia 4B Balik Pulau dan Nibong Tebal, Majlis Belia Barat Daya,
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Barat Daya dan Pekida Barat Daya.
Ketua Pemuda Nibong Tebal Norheisham Ismail berkata pihaknya mahu polis
mengggunakan Akta Hasutan 1948 bagi menyiasat Rayer yang dalam
ceramahnya semasa berkempen untuk calon DAP Ramkarpal Singh Deo didakwa
berulang kali menghasut rakyat dengan menyebut 'Umno Celaka'.
"Ungkapan biadab dan kurang ajar Rayer itu menyebabkan 3 juta anggota
Umno di seluruh negara marah," katanya kepada pemberita selepas membuat
laporan polis itu.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Balik Pulau Hisham Abdul Hamid berkata
pihaknya mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap Adun berkenaan
kerana kenyataannya itu boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara
serta dengan sengaja membuat provokasi.
"Kami desak Rayer menarik balik kenyataannya dan memohon maaf...jika
beliau gagal berbuat demikian, Pemuda Umno sedia menghadapi apa sahaja
untuk parti keramat milik orang Melayu ini," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan