MALAYSIAKINI
Lebih 40 keluarga melibatkan kira-kira 200 penduduk Kampung Desa Keda
Gulau di Sik berdepan masalah bekalan air bersih sejak empat tahun lalu
dan terpaksa bergantung kepada sumber air bukit yang tercemar.
Apa yang membimbangkan penduduk, sumber air tidak dirawat yang digunakan
untuk aktiviti seharian mereka itu kini, dikhuatiri tercemar akibat
virus kencing tikus atau leptospirosis.
Pengerusi 4P (Pasukan Perancang, Pelaksana Projek) Kampung Desa Keda
Gulau, Zainuri Abu Rahim, 52 berkata pelbagai usaha telah dilakukan bagi
mendapatkan bekalan air bersih, namun sehingga hari ini, tiada sebarang
tindakan dilakukan pihak berwajib.
"Kami bimbang dengan keadaan air yang kami guna semakin teruk kerana
warna bertukar setiap kali musim hujan dan bila musim kemarau kami
berdepan masalah kekeringan air.
"Sesekali kami bersuara, air adalah untuk sehari dua dari pihak Sada
(Syarikat Air Darul Aman). Lepas itu, kami terpaksa menggunakan sumber
air yang tercemar untuk minum, mandi dan mencuci pakaian," katanya
kepada Bernama di Sik.
Berikutan tiada bantuan dan sumbangan mana-mana pihak, 40 keluarga
berkenaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli paip
dan membuat takungan air dalam kawasan hutan secara gotong royong.
Seorang suri rumah, Suraya Bahari, 31, berasa kesal kerana masalah air
di kawasan kampung berkenaan sudah berulang kali dimaklumkan kepada
pihak terlibat namun tiada tindakan lanjut.
"Kami cukup kesal kerana terpaksa menggunakan air tercemar sejak lebih
empat tahun lalu hingga kini dan tiada tindakan dilakukan selain janji
yang diberikan pelbagai pihak... kami masih menunggu sampai ke hari
ini", katanya.
Seorang penduduk, Tengku Zaidi Tengku Ahmad Yusoff, 42, berkata masalah
air di kampung itu yang dihadapi lebih 40 keluarga sudah berlaku sekian
lama dan tidak mendapat perhatian mana-mana pihak.
Sementara itu, anggota Parlimen Sik Mansor Abd Rahman yang dihubungi
Bernama berjanji akan melakukan tinjauan segera ke kawasan itu untuk
mengenal pasti masalah penduduk berkenaan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan