Khamis, 29 Mei 2014
Raja Nazrin dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang baru
Raja Nazrin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak Darul Ridhwan yang ke-35 tepat jam 3.15 petang ini yang membawa kepada gelaran Paduka Seri Sultan Nazrin.
Pengumuman pelantikan itu diumumkan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (Bersara) Tan Sri Mohd Zainuddin di sebelah jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar petang ini.
Ia kemudian diikuti oleh pengakuan sumpah Raja Nazrin bahawa baginda akan memerintah dengan adil berdasarkan hukum Allah.
Baginda adalah anak tertua kepada Sultan Azlan Shah dan menjadi Raja Muda Perak sejak 1984.
Sultan Azlan, 86, mangkat pada jam 1.30 semalam di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur.
Paduka Seri Sultan Nazrin, 57, mempunyai ijazah pertama dalam Filosofi, Politik dan Ekonomi daripada Worcester College, Oxford.
Baginda juga mempunya ijazah Master dalam Pentadbiran Awam daripada Kennedy School of Government, Harvard dan mendapat ijazah doktor falsafah dalam bidang Ekonomi Politik dan Kerajaan daripada Universiti Harvard.
Baginda juga biasa menulis dan memberi syarahan dalam pelbagai bidang termasuk peranan dalam raja berperlembagaan di Malaysia, pendidikan, Islam, hubungan antara kaum dan pembangunan ekonomi.
Baginda dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaya sejak 1989 dan Pengerusi Lembaga Gabenor Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Paduka Seri Sultan Nazrin berkahwin dengan Zara Salim Davidson dan mendapat sepasang cahaya mata Raja Azlan Muzaffar dan Raja Nazira Safya Shah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan