MALAYSIAKINI
TELUK INTAN Satu majlis bekas
'anggota' DAP menyertai BN malam tadi tidak berjalan seperti dirancang
apabila seorang peserta sebaliknya mengaku masih setia menyokong DAP dan
tidak diberitahu terlebih dahulu tentang tujuan majlis berkenaan
dianjurkan.
Shantini
a/p Subramaniam, 46, (kiri) seorang pemandu teksi berkata beliau setia
menyokong DAP sejak berumur 21 tahun dan terkejut apabila diumumkan
sebagai seorang daripada 150 orang bekas anggota DAP yang akan menyokong
BN pada majlis lewat petang semalam.
"Saya ini Barisan tadak punya, sampai sekarang saya DAP punya orang.
"Saya bawa teksi punya orang, saya datang sini tangkap gambar punya.
"Saya (sejak umur) 21 tahun sampai sekarang umur saya 46 tahun, saya punya keluarga semua (sokong) DAP.
"Saya masih ahli (DAP), dia orang suruh datang, saya datang," katanya
sewaktu ditemubual pemberita selepas gimik majlis itu selesai.
Shantini kemudian diminta penganjur, seorang individu dikenali sebagai
'ayahanda' Arjami Ali yang mengaku dari NGO Pewaris Malaysia untuk terus
meninggalkan majlis.
Shantini sebelum itu bersama dua orang lagi menerima baju-T BN daripada Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.
Majlis yang berlangsung di padang perumahan Taman Desa Bakti, Teluk
Intan itu kemudiannya menyaksikan seorang daripada mereka menerima
bendera DAP dari penganjur dan meletakkannya ke atas tanah sebagai
simbolik meninggalkan DAP.
Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy sewaktu diminta menjelaskan kekeliruan
tersebut berkata Shantini mungkin tidak faham dengan soalan wartawan.
Menjelaskan tindakan Shantini yang diminta meninggalkan majlis lebih
awal, Mohana berkata beliau pulang untuk mengambil kad keanggotaan DAP
miliknya.
"Awak tanya dalam bahasa apa kepada dia?
"Kadang-kala ada kekangan bahasa juga," kata Mohana apabila mengetahui wartawan bertanya dalam bahasa Melayu kepada Shantini.
'Kejutan' kedua adalah apabila petugas media pada awalnya menerima
maklumat majlis itu diadakan untuk menerima anggota DAP yang akan
'melompat parti' kepada BN.
Namun akhirnya, petugas media dimaklumkan bahawa bekas 'anggota' DAP
yang hadir semalam tidak akan menyertai mana-mana parti komponen BN.
Sebaliknya, majlis diadakan untuk mengalu-alukan sokongan mereka yang
kini bersama BN, seperti disahkan ADUN Cangkat Jong, Mohd Azhar
Jamaluddin pada sidang media ringkas, selepas majlis itu.
Seorang
petugas media turut menggesa peserta agar melakukan gimik memotong kad
keahlian DAP mereka sebagai simbolik meninggalkan DAP.
Namun, Ahmad Maslan menolak permintaan itu atas alasan ia bukan budaya BN.
Sebahagian peserta yang duduk selama hampir dua jam dalam keadaan gelap
di luar khemah yang tidak berlampu, dengan memakai baju-T dan topi BN
pada majlis itu kemudian diberikan sebuah kotak berlogo 1Malaysia setiap
seorang oleh penganjur, selepas majlis berakhir.
Petugas media cuba menemubual peserta untuk mengetahui isi kotak itu
namun dihalang oleh Arjami Ali yang berkata "media suka jaga tepi kain
orang".
Sebelum beredar, petugas media turut meminta seorang lagi penganjur,
Yusof Abd Manaf untuk mencari seorang peserta yang sanggup diwawancara.
Yusof kemudian membawa seorang perempuan berusia 60 tahun ke bawah khemah untuk diwawancara media.
Namun,
wawancara itu terhenti sebelum bermula dengan sempurna apabila Arjami
bertindak membawa perempuan itu pergi dan menutup lampu khemah.
Yusof kemudian meluahkan kekecewaannya apabila media lebih menyerlahkan
'orang KL' yang datang pada malam itu berbanding NGO tempatan yang
bekerja keras selama dua minggu untuk majlis itu.
"Kami dah pujuk orang-orang ini (peserta) selama lebih dua minggu tapi
awak malam ini datang dan tanya 'orang KL' yang cuma datang sekejap dan
tak tanya kami tentang majlis ini terlebih awal," katanya dipercayai
merujuk kepada Ahmad Maslan dan Mohana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan