Khamis, 29 Mei 2014

Rakyat Malaysia pilih Internet luah tidak puas hati kegagalan pencarian MH370

OLEH EILEEN NG


Kegagalan operasi pencarian MH370 masih terus dipersoalkan masyarakat dunia. - Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Mei, 2014. Kegagalan operasi pencarian MH370 masih terus dipersoalkan masyarakat dunia. - Gambar fail The Malaysian Insider.  


Rakyat Malaysia lebih senang menjadikan portal berita dan laman media sosial bagi menyuarakan kemarahan mereka terhadap kegagalan penemuan bagi operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines  (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.

Tidak lama selepas The Malaysian Insider memuat naik berita pesawat berkenaan tidak dijumpai di dalam kawasan carian, pengguna dalam talian menuntut mengetahui lokasi terakhirpesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.

Dalam menyatakan kekecewaan terhadap berita terkini, pengulas dengan nama pengguna “Takadil” berkata: "Usaha yang sia-sia lagi. Apa yang kami mahu adalah kebenaran, apakah pihak berkuasa Malaysia memberinya, kami mahu pengakhiran untuk meneruskan hidup."

"Sekarang anda memberitahu kami... selepas 2 setengah atau hampir 3 bulan...sekarang .. jadi di mana pesawat itu sekarang?... Jibby adakah anda akan menukar kenyataan anda?” kata seorang pengulas lain bernama Fungshui1, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan sebelum ini bahawa Boeing 777- 200ER berakhir di bahagian selatan Lautan Hindi.

Najib berkata, ia berdasarkan kepada data daripada syarikat satelit Britain, Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.

Pengulas “tiuniasin” melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan wang pembayar cukai untuk mencari pesawat.

"Jadi berapa banyak wang pembayar cukai Malaysia dibazirkan terhadap kerja sia-sia ini? "
Sesetengah seperti EskayLim dan kllau1 menyatakan rasa tidak percaya bahawa walaupun pencarian hebat dilakukan, pesawat masih belum dijumpai.

"Tidak bolehlah. Bagaimana kapal terbang sebesar itu boleh hilang begitu sahaja? Altraman! Altraman, tolong bantu kami mengesan MH370 untuk mengakhiri segala-galanya,” tulis EskayLim sambil menyeru adiwira fiksyen Jepun, Ultraman.

kllau1 berkata: "Pesawat seberat 200 tan tidak boleh lenyap begitu sahaja tanpa sebarang kesan untuk sekian lama. Sepatutnya, beberapa serpihan mesti sudah dihanyutkan ke pinggir pantai di suatu tempat. Di manakah mereka...?"

Berita itu juga mendapat perhatian Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang mempersoalkan usaha pencarian pesawat di akaun Twitter di @cmlimguaneng.

"Adakah kita sedang dipermainkan?" soalnya. "BN mesti memberitahu dunia – Adakah semua ini suatu pembohongan bahawa MH370 berada di Lautan Hindi dekat Australlia?" kata “tweet” beliau.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata Bluefin – 21, kenderaan dalam air berautonomi menyempurnakan misi terakhir semalam, dan setelah selesai memeriksa lebih daripada 850 kilometer persegi dasar laut, didapati tiada tanda pesawat yang hilang.

"Data yang dikumpul misi semalam telah dianalisis. Hasilnya, JACC boleh memberi nasihat bahawa tiada tanda serpihan pesawat dijumpai oleh kenderaan air autonomi sejak ia menyertai usaha pencarian.

"Dengan itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia  (ATSB ) dimaklumkan bahawa pencarian di sekitar kawasan pengesanan akustik kini boleh dianggap lengkap dan melalui pertimbangan profesional, kawasan itu kini boleh ditolak sebagai tempat persemadian terakhir MH370."

Tiada ulasan: