Sabtu, 22 Mac 2014

Tiada Bendera DAP : Kurang 5 Ribu Hadir ke Himpunan Reformasi 2.0

alt
 
Alif Mustapha 


KAJANG  - Perhimpunan Reformasi 2.0 'Kembalikan Keadilan, Hentikan Kezaliman' yang berlangsung di Stadium Kajang malam tadi menerima kira-kira 5 ribu pengunjung dengan tiada kibaran bendera DAP sekalipun dihadiri pemimpin daripada parti itu.

Program anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dibawah kelolaan Badrul Hisham atau Che'gu Bard itu bermula seawal jam 8 malam dengan sepak mula menerusi dendangan muzik rock daripada band golongan muda.
 
alt
 
Pemimpin termasuk daripada parti PAS dan DAP mengambil bahagian dalam pentas ceramah pada minit-minit berikutnya. Antara pemimpin yang berucap bagi 'memanaskan' pentas ceramah adalah seperti Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Timbalan Presiden PKR Azmin Mohamed Ali, Ahli Parlimen Shah Alam (PAS) Khalid Samad, Ahli Parlimen Puchong (DAP) Gobind Singh, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, calon PKR pada PRK Kajang Datin Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan ucapan kemuncak oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selaras dengan tajuk himpunan iaitu, 'Kembalikan Keadilan, Hentikan Kezaliman', rata-rata penceramah mengajak rakyat bersama-sama untuk bangkit mempertahankan Anwar berikutan keputusan mahkamah yang mengenakan hukuman 5 tahun penjara kepada beliau kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadi, Saiful Bukhari Azlan. Pimpinan parti Pakatan Rakyat (PR) ini menyifatkan institusi kehakiman telah dijadikan perkakas oleh kerajaan pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN) kerana membuat keputusan yang tidak menyebelahi Anwar yang juga merupakan Ketua Umum PR.
 
Rakyat News
 
Sementara pada jam 10.30 malam, suasana padang di dalam stadium berubah menjadi gelap apabila penganjur memadamkan lampu sebagai simbolik kepada 'kegelapan rakyat' kerana pupusnya keadilan. Lantas yang demikian penganjur meminta pengunjung supaya menyalakan lampu sendiri termasuk menggunakan telefon bimbit sebagai membawa maksud 'keadilan' yang dibawa bersama rakyat bagi menerangi negara yang sudah diselubungi kegelapan.

Kira-kira jam 10.40 malam Anwar mula 'merampas' pembesar suara bagi menyudahkan acara kemuncak. Sambil diiringi laungan 'reformasi', Anwar lantang membidas kerajaan pemerintah BN yang disifatkan sebagai zalim, angkuh dan sombong.
 
alt
 
Isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 turut disentuh Anwar sambil menyifatkan kerajaan sengaja mempolitikkan status juruterbang yang juga penyokong fanatik beliau. Anwar juga 'menggelakkan' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dilihat enggan berkomunikasi dengan media asing. Malah kemunculan 'Raja Bomoh' yang digelar 'Bomoh 1Malaysia' turut menjadi isi kandungan dalam ucapan Anwar sambil mendapat gelak tawa penyokong sebagai suara latar.

Selain itu BN juga dituduh sengaja menghalang dirinya daripada menjejak masuk ke dalam gelanggang perebutan kerusi di Kajang. Namun yang demikian Anwar dengan yakin memberitahu bahawa PKR akan memenangi kerusi yang dipertandingkan apabila meletakkan calon yang lebih layak iaitu isteri beliau yang juga Presiden parti Datin Dr. Wan Azizah Wan Ismail seterusnya menawan Putrajaya.

Tiada ulasan: