KAJANG - Segala persiapan bagi penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang esok, berjalan lancar.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor, Dzulkifli Abdul Rahman berkata pihaknya telah bersiap sedia untuk menjalankan proses penamaan calon itu di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, dekat sini.
Mereka yang ingin bertanding bagi kerusi tersebut boleh mengemukakan kertas pencalonan antara 9 pagi dan 10 pagi.
"Setakat ini yang dijangka bertanding ialah Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagaimanapun kita turut membuat persediaan, jika ada calon bebas mahu mengambil bahagian," katanya semasa ditemui Bernama di sini, hari ini.
Empat khemah untuk penyokong parti juga telah disediakan di perkarangan kompleks itu, dengan setiap calon yang berhasrat bertanding hanya dibenarkan membawa masuk 100 penyokong.
"Untuk mengelakkan perkara tidak diingini, pintu masuk untuk ke khemah penyokong BN di bahagian kiri, PKR di bahagian kanan, calon bebas, jika ada akan memasuki perkarangan kompleks sukan menggunakan pintu tengah.
"Paling penting, 100 penyokong ini diminta mempamerkan pas yang dikeluarkan SPR, atau tidak akan dibenarkan masuk ke perkarangan kompleks sukan," kata Dzulkifli.
Beliau berkata penyokong yang berada di luar kompleks juga boleh mendengar dengan jelas pengumuman tentang calon layak bertanding oleh Pengawai Pengurus Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman.
Tinjauan di kompleks itu hari ini mendapati kerja perincian terakhir sedang dilakukan manakala beberapa stesen televisyen turut membuat persiapan mereka.
PRK Kajang diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lalu.
Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun akan mewakili BN manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili partinya pada PRK itu.
Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Lee menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan BN, Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) dan tiga calon bebas. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan