Isnin, 17 Mac 2014

PR: Kerajaan Pusat khianati MOU air, desak guna WSIA

SELANGOR KINI


SHAH ALAM,: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Kerajaan Persekutuan mengkhianati Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang dibuat dengan Kerajaan Selangor kerana enggan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) untuk menyelesaikan pertikaian isu pengurusan air negeri ini.

Pemimpin Pakatan, Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan bersama berkata, WSIA perlu digunakan untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor.

MB air MOU“Ini adalah pengkhianatan ke atas perjanjian yang dibuat dengan kerajaan negeri. Keputusan berpatah balik itu tidak boleh diterima dan mengejutkan,” kata mereka dalam satu kenyataan pagi ini.

Jumaat lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, ketika ini Putrajaya tidak akan menggunakan WSIA untuk mengambil alih syarikat konsesi air di negeri Selangor.

Sehingga kini, tiga konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (Splash) masih belum bersetuju dengan tawaran pengambilalihan pada harga RM9.65 bilion meskipun MoU telah ditandatangani antara Selangor dan Putrajaya pada 26 Februari lalu.

Malah, Dr Maximus sendiri berjanji akan menggunakan WSIA bagi memaksa syarikat konsesi tersebut.

“Tawaran ditolak oleh syarikat konsesi ini. Kerajaan pusat gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengesa syarikat konsesi menerima tawaran yang dibuat,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Pakatan menggesa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak memberi kelulusan bagi pembinaan loji rawatan air Langat 2.

“Kami akan menggesa kerajaan negeri Selangor, Exco dan Dewan Undangan Negeri untuk menangguhkan baki kelulusan yang diperlukan bagi projek Langat 2.

“Tiada keperluan undang-undang untuk kerajaan negeri memenuhi syarat dalam MoU apabila kerajaan pusat gagal menunjukkan komitmen mereka,” katanya.EZY

Tiada ulasan: