Isnin, 17 Mac 2014

Teknologi tidak dapat atasi ketentuan Tuhan



Oleh Saodah Abd Rahman


Manusia dianugerahkan oleh Allah dengan kebijaksanaan akal fikiran sehingga mereka mampu untuk menerajui angkasa. Kebijaksanaan manusia mengendalikan hal ehwal keduniaan adalah bertepatan dengan fitrah ciptaan mereka iaitu menjadi hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi.

Manusia sepatutnya memahami bahawa kebijaksanaan dan kemajuan teknologi yang dicapai oleh mereka masa kini adalah terbatas dan tertakluk kepada kehendak Ilahi. Apabila kesedaran begini meresap dalam jiwa dan akal fikiran manusia maka setiap apa yang berlaku dalam kehidupan mereka sama ada berkaitan kerugian, kehilangan dan kematian adalah merupakan ketentuan Allah.

Konsep kehidupan manusia di dunia ini adalah berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendaki dan juga menyerahkan diri kepada Allah. Jika konsep hidup ini dijadikan amalan kehidupan seharian maka umat Islam tidak bertindak di luar batasan etika orang beriman apabila yang diharapkan itu tidak tercapai atau kecewa.

Kehidupan manusia sering diuji oleh Allah dalam pelbagai bentuk kerana jika manusia tidak diuji mereka sering lalai dan leka terhadap Allah. Lumrah kehidupan manusia ialah apabila mereka sering memperolehi kekayaan, kuasa, pengaruh dan kedudukan maka tingkah laku mereka sering tergelincir ke arah yang bertentangan dengan syariah Allah.

Dalam era globalisasi umat Islam kurang prihatin terhadap batas akidah dan syriah Islam. Demi kedudukan dan kuasa umat Islam sanggup menggadaikan maruah dan akidah Islam dengan harapan untuk memperkukuhkan kedudukan, kuasa dan pengaruh.

Pemikiran dan jiwa umat Islam yang terlalu terpengaruh dengan kemajuan teknologi sering melihat aspek akidah dan syariah sebagai perkara yang remeh-temeh yang tidak perlu dijadikan sebagai batas dalam tindakan dan kelakuan.

Kemajuan dan kecanggihan teknologi dalam era globalisasi masa kini menjadikan negara maju terlalu angkuh menguasai ruang angkasa, darat dan lautan. Mereka merasai bahawa dunia ini hak milik mereka dan setiap negara kecil wajib tunduk kepada kemahuan mereka. Ini merupakan realiti yang wujud alam dunia masa kini. Persoalannya, adakah kecanggihan teknologi itu mampu menguasai setiap pelosok dunia dan ruangan udara?

Kehilangan pesawat MH370 kepunyaan Malaysia Airlines (MAS) merupakan ujian yang paling bermakna kepada kuasa dunia masa kini untuk menentukan kecanggihan teknologi mereka menguasai dunia. Lautan Hindi dan Lautan China Selatan merupakan medan untuk menguji kecanggihan teknologi yang dimiliki oleh mereka.

Malaysia sebagai sebuah negara yang kecil mempunyai kemampuan teknologi yang terbatas. Oleh itu kegagalan dalam mengesan kedudukan pesawat dengan pelbagai usaha tidak sepatutnya dijadikan bahan kecaman. Kegagalan dalam usaha mencari pesawat ini merupakan satu pengajaran kepada umat Islam bahawa bidang ilmu manusia adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan ilmu Allah.

Mungkin peristiwa ini boleh memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa kecanggihan teknologi bukan boleh menjamin keselamatan manusia secara keseluruhannya.

Walaupun pesawat tersebut adalah pengangkutan udara yang tercanggih dan terselamat di dunia maka terdapat faktor lain yang boleh menggugatkan keselamatan nyawa manusia. Faktor tersebut adalah di luar jangkauan dan kawalan manusia yang mana hanya Allah sahaja yang dapat menghalangnya.

Sebagai umat Islam peristiwa kehilangan pesawat ini sepatutnya dijadikan bahan renungan bahawa perkara yang ghaib seperti di manakah beradanya pesawat itu hanya diketahui oleh Allah.

Jika usaha manusia gagal untuk mencari kedudukan pesawat tersebut walaupun menggunakan teknologi yang canggih maka umat Islam perlu menjadikan peristiwa ini sebagai renungan bahawa kecanggihan teknologi bukan merupakan faktor utama keselamatan nyawa manusia atau alat yang boleh menguasai dunia.

Peristiwa ini juga merupakan satu pengajaran kepada kuasa besar bahawa kecanggihan teknologi mereka menguasai ruangan udara dunia dan lautan tidak setanding dengan kuasa Allah merentasi langit dan bumi.

Keangkuhan mereka untuk menguasai dunia dengan pelbagai cara sering memperolehi kejayaan dengan begitu pantas sekali tetapi kenapa dalam usaha untuk mencari kedudukan pesawat MH370 yang kurang kecanggihannya jika dibandingkan dengan kapal perang mereka sehingga kini masih gagal dijumpai?

Kehilangan pesawat MH370 merupakan hikmah tertentu yang ditakdirkan oleh Allah supaya umat Islam dan manusia keseluruhannya dapat merenung bahawa kuasa manusia adalah kerdil untuk menguasai ruang udara, darat dan lautan.

Kehidupan, kematian, kerugian dan kehilangan sesuatu yang disayangi adalah takdir dan ketentuan Ilahi sejak sebelum bumi dan langit diciptakan lagi.

Sebagai umat Islam mereka mempunyai kepercayaan yang kukuh bahwa setiap yang hidup akan kembali kepada Allah. Cuma masa dan saat sahaja yang berbeza. Oleh itu pasrah kepada Allah adalah merupakan ciri-ciri orang yang beriman. – utusan.com.my

Tiada ulasan: