Sabtu, 15 Mac 2014

PKR gesa pengundi Cina nilai rekod prestasi Mei Fun



MUHAMMAD FAIZAL 


KAJANG: PKR hari ini menyerang kredibiliti calon BN yang juga Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dalam membela nasib masyarakat Tionghua ketika menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU).

Timbalan Bendahari Agung PKR, Low Chee Chong berkata, pada 2001 Mei Fun telah gagal dalam menyelesaikan isu membabitkan SJK(C) Damansara.

"Ketika isu sekolah ini timbul, Mei Fun yang merupakan Ahli Parlimen PJU bukan sahaja tidak membela nasib sekolah tersebut tetapi tidak pernah datang ke sekolah tersebut.

"SJK(C) Damansara ini terletak dalam kawasan parlimen beliau, tetapi beliau tidak mengambil berat dalam isu tersebut," jelasnya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Menurut, Chee Chong pada waktu itu kerajaan pusat ingin mengambil tanah di tapak sekolah tersebut bagi pembinaan kondomium mewah.

Tetapi, telah mendapat tentangan dari penduduk dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan tersebut .

"Bagi menentang usaha tersebut penduduk telah menubuhkan satu jawatankuasa SOS Damansara.

"Masyarakat Tionghua di kawasan tersebut sanggup berjuang mempertahankan sekolah tersebut, namun Mei Fung sebagai Ahli Parlimen ketika itu gagal menyuarakan apa-apa bantahan terhadap kerajaan dan beliau juga dilihat gagal hadir walau sekali pun ke sekolah tersebut," katanya.

Tambah beliau, berbanding dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Presiden Parti Keadilan Nasional ketika itu telah mengunjungi sekolah tersebut sebanyak tiga kali sebagai sokongan beliau terhadap SOS Damansara.

"Bagi Pakatan Rakyat dalam isu membabitkan SJK kita mempunyai pendirian yang tegas dan kerajaan perlu membina mengikut keperluan.

"Kalau penduduk bertambah dan perlu sekolah-sekolah tersebut, kerajaan perlu membinanya, berbanding dengan polisi kerajaan pusat mereka langsung tidak membenarkan sekolah tersebut ditambah di negara ini," sambung beliau.

Chee Chong turut memberitahu pengundi Tionghua di Kajang perlu menilai kembali rekod prestasi Mei Fung sebelum ini.

Pada 2001, masyarakat Tionghua bersetuju untuk pembinaan sekolah yang baru di tapak yang telah disediakan, namum pada masa yang sama mereka menggesa agar sekolah yang lama dikekalkan serta menghalang pembinaan kondominium mewah di tapak sekolah tersebut.

Tiada ulasan: