Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap anak adam(manusia) tidak pernah lari daripada kesalahan dan membuat dosa, namun sebaik-baik orang yang bersalah dan berbuat dosa ialah orang yang bertaubat." [HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah]
Kejadian demi kejadian sedang menimpa negara Malaysia ketika ini.
Kejatuhan nilai ringgit, keadaan ekonomi yang membebankan, kos hidup yang semakin meningkat, meletakkan rakyat dalam keadaan tertekan.
Ketika seluruh negara di Asia Tenggara sedang mengalami musim dingin, malah di sesetengah tempat ada yang mengalami banjir, Malaysia diuji dengan kemarau dan jerebu yang dahsyat.
Terbaru, Allah datangkan pula ujian besar buat negara, kehilangan pesawat MAS MH370 yang sehingga hari ini masih menjadi misteri.
Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu 8 Mac lalu.
Mari bersama kita insafi dan bertanya pada diri. Apakah punca kepada keadaan ini?
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan takutlah kalian daripada (berlakunya) fitnah (iaitu dosa yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum), dan ketahuilah oleh kamu bahawa hukuman Allah itu tidak terperi dahsyatnya" [Al Anfal:25]
Dalam isu pengurusan ekonomi dan dana negara, ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa seperti sebati dalam pentadbiran negara.
Saban tahun ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara, namun ketirisan-demi ketirisan terus berlaku.
Dengan bajet tahunan yang defisit secara berterusan, kerajaan dilihat cuba memangsakan rakyat dalam usaha menambah pendapatan negara.
Rakyat dikenakan harga barangan keperluan yang meningkat, dan akan datang terpaksa berhadapan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan GST yang akan diperkenalkan.
GST dilihat satu cukai yang zalim dan bercanggah dengan konsep percukaian Islam, kerana bukan sahaja orang kaya, tetapi semua sektor masyarakat termasuk orang miskin juga terpaksa membayarnya.
Dari aspek perundangan, tindakan terbaru ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara, terus dilihat satu lagi siri kezaliman mengulangi skrip 1998.
Keputusan mahkamah yang dilihat dibuat tergesa-gesa dalam masa sama, mengenepikan hukum qazaf yang diajar agama, menambah lagi beban dosa umat.
Dalam isu menjejak pesawat MH370 pula, Malaysia menjadi tumpuan dunia ketika ini.
Malangnya, Malaysia yang dikatakan Perdana Menteri sebagai mengamal Islam moderate dan wasatiyah, mengambil jalan terdesak membenarkan pula pendekatan khurafat melalui pembomohan.
Tindakan yang bukan sahaja memalukan Malaysia, tapi lebih besar menghina agama sekaligus memberatkan lagi beban dosa yang ditanggung umat.
Lalu, di atas beberapa dosa zahir yang disebutkan itu, marilah bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk benar-benar menginsafi kesalahan yang kita lakukan.
Kita jugalah yang seharusnya menegakkan syariat Allah, kerana ia adalah amanah yang telah Allah berikan kepada kita.
Semoga Allah mengampuni dosa kita dan menghindarkan kita semua, rakyat Malaysia umumnya daripada bahaya bala bencana.
Ayuh, marilah kita perbanyakkan istighfar, terus panjanjatkan doa, moga Allah temukan pesawat MH370 dan hindarkan negara ini dari bala-dan bencana.
*Penulis adalah AJK Dewan Ulamak PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan