Selasa, 18 Mac 2014
Nazri dan Khairy tidak boleh lepas tangan, kata Nik Nazmi
PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak boleh lepas tangan dalam isu konsert Future Music Festival Asia (FMFA) yang diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Katanya, mengapa tidak diselidik dengan lebih mendalam tentang acara yang hendak dianjurkan?
“Khairy sendiri mengakui beliau sedar bahawa ada pengunjung acara-acara electronic dance music atau trance – seperti FMFA ini – yang terlibat dalam pengambilan dadah. Jika begitu, mengapakah acara ini mendapat dokongan Kerajaan Persekutuan?” soal beliau dalam satu kenyataan.
Soalnya lagi, adakah pihak berkuasa telah meletakkan kawalan keselamatan dan seliaan yang sewajarnya?
Beliau yang juga ADUN Kelana Jaya berkata demikian ketika mengulas kematian enam orang di Future Music Festival Asia (FMFA) yang diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lalu.
Katanya lagi, ia adalah peristiwa yang amat menyedihkan.
“ Pada masa yang sama 14 pengunjung FMFA dirawat berikutan konsert tersebut di tiga hospital di sekitar Kuala Lumpur. Kita berharap mereka pulih dengan segera,” katanya.
Sementara itu 40 orang telah ditangkap polis berkaitan pemilikan dadah ecstacy, ganja dan jenis yang belum dikenalpasti.
Beliau yang akan bertanding jawatan Ketua AMK Mei ini berkata tragedi ini menimbulkan beberapa persoalan yang wajib dijawab pihak berkuasa.
“FMFA tahun ini merupakan kali ketiga konsert ini diadakan di Malaysia. Tahun ini, dijangka 75,000 pengunjung hadir ke acara tersebut,” dakwanya.
Katanya, FMFA mendapat dokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Malaysia Major Events sebuah bahagian di bawah agensi Kementerian tersebut iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau.
Beliau menambah menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Jabatan Perdana Menteri, Malaysia Major Events ditugaskan menjadikan Malaysia destinasi utama acara-acara sedunia.
“Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz menyempurnakan majlis pelancaran senarai artis FMFA 2014 pada 17 Oktober 2013,” dakwanya lagi.
Dalam ucapannya, Nazri menganggap FMFA 2014 sebagai acara penting Tahun Melawat Malaysia 2014.
Nik Nazmi mendakwa pihak penganjur, Iqbal Ameer yang merupakan Pengarah Livescape Sdn. Bhd. telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Khairy dalam kenyataannya pada 16 Mac memaklumkan Iqbal memohon untuk menggunakan perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi FMFA.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan