MH370: Masih belum ada bukti konklusif Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (dua, kiri) bercakap pada sidang media MH370 di Pusat Media Hotel Sama Sama, Sepang, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI


SEPANG – Semua aset Malaysia dihantar ke selatan Lautan Hindi belum berhasil menemui sebarang “bukti konklusif” walaupun Australia menerima imej satelit dua objek yang mungkin berkaitan dengan penerbangan MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Banyak kapal dan pesawat menuju ke arah itu, tetapi tatkala kami bercakap mengenainya ketika ini, pihak berkuasa masih belum menemui apa-apa yang konkrit,” katanya kepada pemberita di Hotel Sama-Sama di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata semua laporan dan sebarang petunjuk perlu diteliti dengan terperinci dan konsisten bagi memastikan semua petunjuk diperakui dan disahkan.

Ditanya sama ada pihak berkuasa Malaysia berharap untuk mendapatkan maklum balas daripada rakan sejawatan Australia, beliau berkata:

“Kami mendapat maklum balas secara tetap dan sentiasa memantaunya sejak sidang akhbar terakhir. Setakat ini, mereka masih belum menemui apa-apa serpihan tetapi anda perlu hargai bahawa pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang melakukan pencarian di kawasan yang luas.”

Menegaskan keadaan cuaca turut memainkan peranan penting dalam operasi mencari dan menyelamat, Hishammuddin memberikan jaminan bahawa kapal P-8A Poseidon dan pesawat P3 Orion adalah antara aset paling canggih dalam operasi itu.

“Usaha ini membabitkan pelbagai negara. Saya mendapat sokongan dan doa daripada seluruh dunia, dan ini memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan SAR.

“Usaha ini melampaui sempadan bangsa, agama dan merupakan kerjasama dalam kalangan negara-negara,” katanya.

Penerbangan Malaysia Airlines MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam sebelumnya.

Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama