KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Bencana ditubuhkan segera bagi membantu kerajaan dan agensi berkaitan melakukan siasatan terperinci mengenai tragedi kehilangan MH370.
Beliau berkata, Parlimen Malaysia yang mewakili rakyat Malaysia mesti memainkan peranan dalam tragedi MH370 ini, bukan sahaja memberi sokongan terhadap usaha mencari dan menyelamat juga kontroversi serta kekeliruan mengenainya.
Katanya, kekeliruan timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dimaklumkan segera sebaik sahaja MH370 dengan 239 penumpang tiba-tiba hilang, kecuali mengetahuinya beberapa jam kemudian.
Antara kekeliruan itu kata Kit Siang adalah seperti berikut.
• Sama ada operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan serta-merta sekurang-kurangnya sejam selepas pesawat itu dilaporkan hilang kerana melengah akan menyebabkan pesawat SAR yang dilengkapi sistem seperti ‘forward looking infrared’ tidak dapat mengesan tanda haba (heat signature) daripada rangka badan pesawat dan enjinnya.
• Bila hubungan dengan pesawat itu terputus, samada jam 1.30 pagi waktu Malaysia, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA atau pada jam 2.40 pagi.
• Kekeliruan mengenai pasport yang dicuri, sama ada dua atau empat, samada kelihatan seperti orang Asia, berkulit hitam atau warga Iran.
• Kekeliruan mengenai bagasi yang dibawa masuk dengan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan daripada Pengarah Penerbangan Awam, Ketua Polis Negara dan Malaysian Airlines
• Sama ada pesawat itu tersasar daripada laluan sepatutnya mengakibatkan kawasan carian semakin meluas daripada Laut China Selatan sehingga ke Selat Melaka dan dan Lautan Andaman.
“Atas sebab ini, saya menyeru ditubuhkan segera Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Bencana untuk memberi sokongan penuh kepada operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, serta menyiasat selepas operasi menangani semua persoalan mengenai tragedi itu.
“Saya berharap Najib dan Hishammuddin dapat memberi sokongan penuh kepada cadangan ini,” katanya ketika berucap membahaskan usul menjunjung titah Diraja, di Parlimen, kelmarin.
Katanya, ini hari keenam pesawat MH370 hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dan lima hari berlalu dengan penuh rasa perit dan hiba buat keluarga, sahabat handai semua 239 individu serta mereka yang mendoakan keselamatan mangsa, tanpa mengira kaum, agama, pandangan politik atau kewarganegaraan dari dalam dan luar negara.
“Namun tiada sebarang kesan atau tanda yang ditemui meskipun usaha menyelamat oleh pihak dari pelbagai negara membabitkan 34 pesawat udara, 40 kapal untuk mendapatkan sebarang petunjuk mengenai apa sebenarnya berlaku atau menunjukkan lokasi terakhir pesawat berkenaan hilang.
“Setiap hari yang berlalu, harapan dan doa kita kepada 239 penumpang dan anak kapal MH370 berada dalam keadaan selamat terhadap apa yang menimpa mereka menjadi semakin tipis, namun begitu kita tidak harus berputus asa dan mesti terus mendoakan keajaiban buat MH370,” katanya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, semua rakyat Malaysia, malah seluruh dunia, tanpa mengira kaum, agama, latar politik dan kewarganegaraan, bersatupadu mendoakan keselamatan 239 penumpang dan anak kapal MH370.
“Kita tidak boleh berpura-pura seolah-olah tidak banyak persoalan yang timbul, samada daripada pihak keluarga mangsa, sahabat handai atau masyarakat dunia, tidak kira di dalam atau luar negara, namun jawapan kepada persoalan ini harus ditangguhkan kerana keutamaan dan fokus sekarang adalah untuk menemukan pesawat terbabit.
“Bagaimanapun, rakyat Malaysia dan masyarakat dunia, mesti diberi jaminan bahawa pada waktu dan tempat yang tepat, semua jawapan bagi setiap soalan yang ditanya, di dalam dan di luar negara mesti diberikan,” katanya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan