KUALA LUMPUR: Cuaca buruk menyebabkan Tentera Udara Diraja Australia
(RAAF) berdepan masalah mengesan objek yang dicerap satelit di selatan
Lautan Hindi, yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia yang hilang,
demikian menurut Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA).
Dalam tweetnya, AMSA menyatakan kepulan awan dan hujan mengehadkan
jarak penglihatan anak kapal pesawat P-3 Orion RAAF dalam usaha mencari
objek itu yang dicerap oleh satelit kira-kira 2,500km dari barat daya
bandar raya Perth di Australia.
Pada Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata imej satelit
itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat
Malaysia Airlines MH370.
Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 orang, berlepas ke
Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan
hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-13.
Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian
diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia,
termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada
laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan
sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam
selepas itu.
Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang
merangkumi Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor
selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan