KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan populariti untuk meraih sokongan rakyat bagi memastikan kemenangan pada PRK Dun Kajang.
Ujarnya, pengundi Dun Kajang perlu membuat pilihan yang bijak dengan memilih calon yang boleh berkhidmat kepada mereka, bukan atas dasar populariti semata-mata.
"Kita harap rakyat negeri Selangor khususnya di Kajang betul-betul menilai tokoh yang nak dipilih atas sebab apa? Sebab popular sahaja atau khidmat dia?," katanya kepada sebuah portal.
Menurut Jahara lagi, Anwar boleh menang jika dinilai berdasarkan populariti tetapi akan tewas jika pengundi menilai dari segi khidmat serta tanggungjawab diberikan.
"Kalau atas populariti mungkin dia menanglah tapi khidmat dia tak menang.
"Sebab kalau dinilai khidmat setakat ini memang tiada apa pun, dia cakap-cakap sahaja," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Kajang pada 23 Mac manakala penamaan calon pula pada 11 Mac ini, sementara tarikh pengundian awal pula pada 19 Mac.
Untuk rekod seramai 38,297 orang pengundi akan terlibat dalam pilihan raya kecil Dun Kajang yang terdiri dari 38,055 pengundi biasa, 1,197 pengundi awal dan 26 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Sebanyak 18 pusat pengundian akan dibuka dengan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Bandar Baru Bangi akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan