Sabtu, 1 Mac 2014

Jenazah 4 beranak disemadi satu liang lahad

Jenazah 4 beranak disemadi satu liang lahad Empat beranak dikebumikan dalam satu liang lahad dengan kedudukan Mohd Fauzan dan isteri tepi kiri dan kanan.


SETIU - Jenazah empat beranak yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan kelmarin dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Batu Gajah, Guntung Dalam dekat Permaisuri di sini awal pagi semalam.

Mohd Fauzan Abu Bakar, 33, isterinya, Nurhidayah Ngah, 29 dan dua anak perempuan mereka Nur Ain Shahiera, 6, dan Nur Aina Shahmiera, 10 selamat disemadikan kira-kira jam 4 pagi.

Menurut abang Mohd Fauzan, Mohd Zaki, 36, jenazah empat beranak itu tiba dari rumah mayat Hospital Jempol kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

“Sebaik tiba jenazah mereka terus dibawa ke Masjid Kampung Guntung Dalam untuk disembahyangkan kemudian dikebumikan,” katanya.

Mohd Zaki berkata, jenazah adiknya dan keluarga dibawa pulang dengan dua buah van jenazah milik Angkatan Tentera Malaysia dan Hospital Jempul.

Menurutnya, jenazah mereka dikebumikan berhampiran dengan kubur ibu dan ayahnya Fatimah Muda dan Abu Bakar Diah yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Menurut abang sulung Mohd Fauzan, Mohd Zainuddin, 49, adiknya itu sempat singgah di kubur ibu dan ayah mereka itu ketika perjalanan pulang ke Port Dickson petang Selasa.

“Sebaik turun dari rumah saya di sini (Kampung Batu Gajah) arwah singgah di kubur arwah mak dan ayah, dan dua hari selepas itu mereka sekeluarga turut dikebumikan berhampiran kubur arwah mak dan ayah,” katanya.

Mohd Zainuddin berkata, selain  Mohd Zaki yang bermimpi adiknya (Mohd Fauzan) akan meninggal dunia, Mohd Fauzan juga berubah laku apabila menjadi pendiam.

Katanya, ketika Mohd Fauzan ingin berangkat pulang, dia turut meminta arwah meninggalkan anaknya Nur Ain Shahiera untuk dijaganya, namun Mohd Fauzan berkata, dia dan anaknya tidak boleh berpisah.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi kelmarin, kereta  Proton Saga dinaiki mangsa sekeluarga dari sini ke Port Dickson bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja dinaiki Muhammad Fairahall Abbas, 45, yang dalam perjalanan dari Seremban ke Kerteh.

Tiada ulasan: