Selasa, 11 Mac 2014

Anwar Akui Sengaja Tidak Pakai Pakaian Rasmi Kerana Boikot

Rakyat News
 
Safiq Yaacob 


KAJANG - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak mahu memakai pakaian rasmi istiadat Di Raja sebagai langkah memboikot hukuman ke atasnya semasa Istiadat Perasmian Penggal Kedua Sidang Parlimen oleh Yang Di Pertuan Agong, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah.

Anwar berkata, beliau dan semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) turut sengaja tiba lewat pada majlis itu kerana tidak mahu menyertai perbarisan yang dijadualkan pada majlis istiadat perasmian itu.

"Pada mesyuarat semalam bersama pimpinan PR yang lain telah putuskan bahawa kita akan hadir pada majlis perasmian tersebut sebagai menjunjung kasih dan taat setia kepada Yang Di Pertuan Agong.

"Tapi kita tidak ikut perbarisan dan kita tidak pakai pakaian istiadat yang dipenuhi bintang-bintang tersebut dan sengaja tiba lewat dan terus masuk ke dalam dewan," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Ceramah Perdana di Tapak Karnival Usahawan di sini semalam.

Beliau turut memberitahu, semua Ahli Parlimen PR akan memulaukan hari pertama sidang parlimen penggal kedua sebagai langkah menentang dasar kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

"Ini tindakan yang penting dan pertama kali dalam sejarah kita melakukannya sebagai menolak dasar zalim kerajaan UMNO dan BN.

"Sekarang penguasaan UMNO dalam sistem kehakiman negara semakin teruk dan ia telah berlaku sejak dari dahulu lagi," ujarnya.

Kesemua anggota pembangkang semalam tidak memakai pakaian rasmi Parlimen berwarna putih yang kebiasaannya dipakai ketika istiadat pembukaan persidangan Parlimen.

Mereka sebaliknya mengenakan sut hitam dan sesetengahnya bersongkok, manakala anggota pembangkang wanita berpakaian kebangsaan seperti baju kurung.

Tiada ulasan: