Selasa, 18 Mac 2014

Ahli keluarga kapten tidak lari


DETIK DAILY


SHAH ALAM - Dakwaan mengatakan isteri kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah melarikan diri ke luar negara sehari sebelum kejadian tidak benar.

Menurut sumber terdekat keluarga, isteri Zaharie sebenarnya tidak pernah melarikan diri sebaliknya berada di rumah anak sulungnya di Subang.

Beliau berkata, wanita tersebut pergi ke rumah anaknya sehari sebelum kejadian.

"Beliau (isteri) sering berulang alik antara Shah Alam dan Subang apabila suaminya terbang.

"Kebanyakan masa dihabiskan di Subang dan hanya akan pulang ke rumah sekiranya kapten bercuti. Rumah ini boleh dikatakan sebagai rumah persinggahan untuk ahli keluarga berkumpul," katanya, semalam.

Menurut sumber tersebut, dia juga kecewa dengan spekulasi yang tersebar kerana sedikit sebanyak menjejaskan emosi keluarga serta memberi tanggapan buruk terhadap keluarga Zaharie terutama isterinya.

Sumber berkata, rumah Zaharie di Laman Seri di sini, dikawal ketat oleh pihak pengurusan.

"Pengawal keselamatan sentiasa berkawal di rumah Zaharie, malah orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut," katanya.

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam, menunjukkan kediaman Zaharie lengang serta berkunci rapat.

Selain itu, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hitam diletakkan di garaj dan turut kelihatan seorang wanita dipercayai pembantu rumah sedang memegang seekor kucing berwarna kelabu.

Cubaan untuk menemu bual wanita itu tidak berjaya kerana dia tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Saya tak boleh cakap apa-apa kerana majikan tiada di rumah," katanya.

Pada 8 Mac lalu, pesawat MH370 yang dipandu Zaharie bersama pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Sebelum ini, media antarabangsa Daily Mirror melaporkan bahawa isteri Zaharie bersama tiga orang anaknya telah keluar ke luar negara sehari sebelum kejadian pesawat tersebut hilang.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian juga mendapati Facebook dan Instagram Zaharie telah ditutup dan dipercayai dilakukan oleh ahli keluarga untuk mengelakkan sebarang spekulasi yang menjejas imej keluarga.

Manakala, akuan Twitter beliau juga tidak mempunyai sebarang status lama dan kekal kosong.S/Harian

Tiada ulasan: