Ahad, 9 Mac 2014

23 Mac ini, kita ajar orang korup - Anwar



SALMIYAH HARUN 


KAJANG: Ketua Umun PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam PRK Kajang tetapi mesti memainkan peranan penting untuk negeri Selangor.

Menurut Anwar perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang dihadiri ketiga-tiga pimpinan parti termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Saya akan berada di sini (Selangor). Wakil Kajang akan kita umumkan esok (hari ini)," kata Anwar dalam majlis Makan Malam di Sungai Chua malam tadi.

Mahkamah Rayuan kelmarin memutuskan Anwar bersalah dan dikenakan hukuman penjara lima tahun sekaligus beliau tidak layak bertanding dalam PRK Kajang pada 23 Mac ini.

"Kita kena bagi mesej jelas 11 Mac ini, kawan-kawan datang pada penamaan calon. 23 Mac ini kita bagi ajar orang-orang yang korup! Biar BN ini kita ajar.

"Malam esok Lim Guan Eng bagitahu orang Penang berhimpun supaya Umno BN jangan ingat dia boleh buli rakyat.

"Please, pelase... orang Kajang 'you' ajar ini orang ini 'election' bahawa rakyat boleh fikir dan mahu hak mereka," tegas Anwar sambil diikuti sorakan lebih 5,000 mereka yang hadir.

Jelas Anwar, Kajang akan menjadi platform untuk mengangkat Selangor sebagai model yang terbaik untuk Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut melancarkan gimik setiap mereka yang hadir memakai topeng wajah Anwar sebagai simbolik 'satu Anwar yang pergi beribu-ribu Anwar yang akan muncul'.

Turut bersama dalam majlis itu Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan: