Ahad, 9 Mac 2014

Terima kasih Tuan Hakim, anda pemangkin Reformasi 2.0



Oleh Izmil Amri


Saya mahu ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggotai oleh Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh.

Terima kasih banyak atas hukuman yang dijatuhkan oleh Yang Arif sekalian kepada ketua pembangkang Parlimen Malaysia, merangkap calon perdana menteri Pakatan Rakyat.

Malah saya harus mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada peguam tersohor Datuk Muhammad Shafee Abdullah atas kejayaan besar beliau dalam kes ini.

Terima kasih dan tahniah kerana menjadi pemangkin gelombang Reformasi kedua, di zaman media sosial dan Internet berkapasiti tinggi.

Terima kasih banyak. Tiada lain yang boleh diucapkan selain sekalung ‘syabbbashh’ kepada kalian yang berhempas pulas memungkinkan gelombang ini tercetus.

Mari kita tekan butang rewind dan mengenang kembali September 1998. Zaman Internet pakai ‘dial-up’ dan tiada Twitter mahupun Facebook.

Zaman saya baru berumur sekadar 14 tahun.

Zaman anak muda yang di luar Kuala Lumpur tidak tahu perkembangan di jalan raya setiap Sabtu, dan ramai daripada mereka masih lagi tertambat tangan kaki dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti; selain masih terkial-kial memicit jerawat baru tumbuh menjelang fasa akil baligh.

Ya, itu dia hari Reformasi, 16 tahun lalu.

Dan kini hasil jasa besar pihak yang saya sebutkan tadi, kami yang terkurung dalam seragam sekolah menengah ketika 1998 sudah boleh merasakan kembali kehangatan 16 tahun lalu, dengan bantuan Internet yang boleh tahan laju.

Malah terima kasih juga kerana akhirnya kami akan mendapat peluang untuk benar-benar faham apa kisahnya ‘Reformasi’ yang dicanang Anwar ini.

‘Reformasi’ berterusan

Akan ada macai, malah sebenarnya sudah ada macai yang mengeja ‘reformasi’ sebagai ‘reformasin’.
Dan macai ini setakat boleh berfikir sampai ke politik lubang dubur sahaja. Saya tidak salahkan macai; mereka ini mangsa sistem pembodohan angkara diktator tua yang belum mahu putus nyawa.

Namun hakikatnya hanya yang takut dengan Reformasi yang tidak akan berani menyebut kalimah itu.
Sepertimana tiada yang berani menyebut nama ‘Voldemort’ kerana takut akan beliau. Tetapi itu cerita lain.

Reformasi itu pastinya akan berterusan, dan tidak berkisar sekitar sosok manusia bernama Anwar. Anak muda Malaysia pastinya sudah tahu dan percaya bahawa perubahan itu pasti datang dan sudah boleh berfikir bahawa sosok yang bernama Anwar ini hanyalah simbol dan perjuangan Reformasi itu jauh lebih besar.

Ini bukan soal Anwar atau lubang dubur Saiful.

Ini soal masa depan negara dan sistemnya yang begitu bobrok; yang selama 16 tahun tidak ada sesuatu yang cukup kuat simboliknya untuk diterangkan kepada anak muda generasi pasca ‘98.

Nah, sekarang roda sejarah sudah berputar dan anak muda Malaysia akan kembali menyoal apa yang bobrok dan apa yang perlu perubahan.

Kezaliman yang menimpa Anwar itu satu hal. Tetapi ia bukan satu-satunya hal yang tidak kena dengan negara ini.

Anak muda sezaman dengan saya yang mungkin sudah lupa atau disuruh melupakan sejarah 1998 kini akan punya kisah baru untuk disembangkan, waktu santai minum kopi mahal dengan telefon pintar di tangan.

‘Eh kan di Mahkamah Tinggi sudah diputuskan tidak ada bukti, tiada penetrasi, DNA basi... Ini apa pula?’

Dan inilah dia riak-riak air di laut yang akan memulakan gelombang Reformasi kedua; gelombang yang akan terus bertanya apa jadi kepada doktrin pemisahan kuasa, dan bagaimana mahkamah boleh diperalat pemerintah pada saat sosok penyatu Pakatan Rakyat ini begitu hampir dinamakan menjadi calon Pilihan Raya Kecil DUN N25 Kajang.

Melakar sejarah baru

Di laman sosial ada yang berkata, “Walaupun aku bukan penyokong Anwar Ibrahim, aku turut bersolidariti untuk Anwar dan keluarga yang menjadi mangsa permainan politik kepartian dan kekuasaan yang berasaskan penipuan, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan ketidakadilan.”

Atau yang lebih menarik, “1998 saya hanya bersekolah darjah 5 , tetapi sekarang 2014 sudah bersedia turun ke jalan raya menuntut reformasi”.

Anwar Ibrahim pada usia 66 tahun, dinafikan kebebasan yang diputuskan mahkamah bicara, yang pada waktu itu berkeyakinan bahawa tiada bukti jelas nyata untuk menyumbat beliau ke penjara.

Mahkamah Rayuan Malaysia, entah daripada mana mendapat ilham membuat keputusan bahawa pembebasan oleh hakim mahkamah bicara itu salah; lantas tergesa-gesa menghukum Anwar pada petang Jumaat supaya ia tidak boleh memfailkan rayuan. Pejabat sudah tutup.

Orang tua ini disabitkan kesalahan meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan; seorang lelaki muda yang pada waktu ia mendakwa diliwat itu baru berusia 23 tahun.

Sehingga kini kita semua terus bertanya, ‘Kenapa si Saiful lelaki muda yang gagah berani itu tidak lari saja?’

Ini semua sejarah baru yang bakal direkod serta dicacah ke Internet untuk pengetahuan dunia dan memberi makna yang langsung berbeza kepada kalimah Reformasi yang begitu digeruni pemerintah, macai dan aparatnya.

Sejarah baru inilah yang akan melihat Anwar dalam sudut pandang yang berbeza.

Seperti Yusuf yang menjadi mangsa fitnah Zulaikha, selangkah dia ke penjara kian dekat dia dengan istana.

Meskipun tidak mungkin menjejakkan kaki ke Pejabat Perdana Menteri, inilah dia sosok pemimpin dan negarawan zaman transisi.

Meminjam bait-bait puisi Rendra, “sebuah sangkar besi, tidak bisa mengubah rajawali menjadi seekor burung nuri”.

Satu Anwar dikurung sebalik tirai besi, seribu Anwar lagi akan pasti bangkit berdiri.

Tiada ulasan: